SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerajaan Pulau Pinang buat julung kalinya bekerjasama bagi menjayakan Program Anak Emas, khusus untuk anak-anak negeri itu.
Melalui kerjasama itu, program berkenaan yang mula diperkenalkan pada Jun 2011, ditambah baik sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan Pulau Pinang dalam memperkasakan pendidikan tinggi rakyat negeri berkenaan.
PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, berkuatkuasa pada 15 Januari lalu, RM100 akan diberikan untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime dan RM100 disalurkan ke akaun bank pemohon yang layak melalui program tersebut.
"Kerajaan Pulau Pinang telah memperkenalkan program ini pada Jun 2011, iaitu bayaran bantuan secara sekali beri berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur dua tahun ke bawah, dengan syarat salah seorang ibu atau bapa kepada bayi mestilah berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Pulau Pinang.
"Simpan SSPN Prime pula merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan.
"Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Majlis Pelancaran Program Anak Emas akan berlangsung pada Sabtu, 3 Ogos depan bertempat di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan akan disempurnakan oleh Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Khim.
Program itu dijangka turut dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman; pengurusan PTPTN, rakan strategik, ibu bapa, guru-guru bersama murid sekolah dan kanak-kanak tadika serta orang ramai.
Program yang akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga 6 petang itu akan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik untuk pengunjung yang hadir.
Antara aktiviti yang akan dianjurkan ialah pertandingan mewarna Simpan SSPN kategori tadika dan sekolah rendah, pertandingan bayi merangkak Simpan SSPN, pertandingan action song Simpan SSPN, pertandingan pakaian beragam, penampilan badut, persembahan boria, persembahan kanak-kanak tadika dan persembahan silap mata yang pastinya akan cukup meriah.
"Program ini turut mendapat kerjasama daripada agensi awam dan swasta yang akan membuka kaunter perkhidmatan dan pameran untuk pengunjung yang hadir, antaranya kaunter promosi Simpan SSPN, kaunter saringan kesihatan percuma, kaunter semakan akaun dan khidmat nasihat KWSP, mini petting zoo, pameran robotik dan AI oleh Tech Dome Penang, pameran pergigian dan pameran interaktif serta minuman Sunquick percuma untuk 2,000 orang yang terawal.
"Orang ramai dijemput untuk hadir bersama keluarga ke Majlis Pelancaran Program Anak Emas bagi memeriahkan lagi program ini. Ibu bapa yang layak memohon Program Anak Emas boleh membuat pendaftaran di kaunter promosi PTPTN.
"Rebutlah peluang ini untuk hadir dan dapatkan maklumat lanjut mengenai program selain dapat menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan. Orang ramai yang membuka akaun atau membuat penambahan deposit Simpan SSPN pada program tersebut turut berpeluang mendapat hadiah istimewa daripada PTPTN,” jelasnya.
Untuk maklumat dan keterangan lanjut mengenai program serta aktiviti yang akan berlangsung, boleh layari media sosial facebook Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang melalui pautan https://www.facebook.com/PTPTNPulauPinang atau hubungi Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang di talian 04-383 1410.