SHAH ALAM - Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri (MySel) yang diperkenalkan sejak 2008 telah membantu lebih 2,000 individu mendapatkan dokumen pengenalan diri di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lebih 6,000 permohonan diterima setakat ini yang 50 peratus daripadanya terdiri kaum Melayu dan bumiputera.
Menurutnya, terdapat tiga faktor pemohon menghadapi masalah ketiadaan dokumen diri disebabkan terikat dengan undang-undang, sosioekonomi dan komunikasi bahasa Melayu.
"Seterusnya faktor sosioekonomi disebabkan ada antaranya duduk dalam kawasan pedalaman atau ladang dan mereka tidak didaftarkan secara betul atas sebab tertentu," katanya pada Majlis Penyerahan Dokumen Diri MySel di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul azizi Shah pada Isnin.
Turut hadir Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu.
Beliau berkata, masalah komunikasi pula dihadapi oleh kebanyakan warga emas yang telah tinggal dalam komuniti dalam tempoh lama.
"Mak ayah mereka datang sebelum merdeka dan mereka telah puluhan tahun duduk dalam ladang.
"Ladang cuma dikomersial pada awal 90-an, jadi mereka dah puluhan tahun duduk dalam komuniti dan bercakap bahasa Tamil atau tidak berhubung dengan orang luar.
"Bagi kebanyakan orang muda jika ikut sistem pendidikan negara, mereka tidak berdepan masalah komunikasi itu," katanya.
Selain itu katanya, masalah itu turut dikesan dalam kalangan Tionghua yang turut memerlukan bantuan kemahiran Bahasa Melayu.
"Kita akan lihat pegawai yang mempunyai kemahiran multibahasa untuk bantu proses permohonan dan pendaftaran rayuan ini.
"Selain itu, kita juga akan tambah pegawai, libatkan pusat khidmat serta pejabat kerajaan untuk bantu perluas peranan MySel," katanya.
Ujarnya, MySel berperanan sebagai pemudah cara proses permohonan dokumen diri dan bukan bertujuan mengambil alih peranan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Kita bantu kepada semua peringkat umur dan melihat aspek keciciran kerana ketiadaan dokumen menimbulkan masalah seperti pendaftaran sekolah.
"Ketiadaan dokumen juga menimbulkan kekangan mereka untuk mendapat keistimewaan warganegara seperti bantuan ditawarkan daripada kerajaan negeri dan pusat," katanya.
End