Jeritan ustaz selamatkan nyawa 14 pelajar

Iklan
Sebuah maahad tahfiz dua tingkat di Jalan Sanglang, Pekan Kodiang musnah dalam kebakaran pada Isnin.

JITRA - Jeritan seorang ustaz berjaya menyelamatkan nyawa 14 pelajar sebuah maahad tahfiz dalam kebakaran sebuah premis dua tingkat di Jalan Sanglang, Pekan Kodiang, dekat sini, pada Isnin.

Seorang tenaga pengajar maahad tahfiz itu, Che Aton Yahya, 66, berkata, pelajar terlibat tinggal sehelai sepinggang memandangkan kebakaran itu berlaku dengan pantas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu pelajar baru bangun tidur dan sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

"Suami saya, Mohd Rofiq Abd Mahmud, 40-an, ternampak api yang masih kecil di bangunan terbabit dan sempat menjerit api-api.

Iklan

"Alhamdulillah, kesemua pelajar lelaki berusia 8 hingga 16 tahun sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari bilik asrama," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Bagaimanapun, Che Aton berkata, pelajar-pelajar terlibat tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan berikutan api marak dengan cepat.

Iklan

Beliau berkata, kesemua pelajar kini tinggal sementara dengannya di kediaman berhampiran selepas maahad tahfiz yang beroperasi sejak empat tahun lepas musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.34 pagi.

Beliau berkata, operasi dibantu sepasukan anggota BBP Bukit Kayu Hitam dan BBP Simpang Empat, Perlis serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya.

"Setibanya di lokasi, didapati rumah dua tingkat kelas B yang dijadikan maahad tahfiz sedang terbakar, namun tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kebakaran," katanya.

Tambah Mohd Bustan, pihaknya berdepan kesukaran berikutan akses ke lokasi juga agak sempit namun api berjaya dikawal jam 6.45 pagi.

Menurut beliau, kebakaran maahad tahfiz itu menyebabkan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus, namun setakat ini punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.