Tidak perlu timbulkan polemik isu sumbangan syarikat arak - Anthony

Iklan
Anthony Loke (dua dari kiri) meninjau status terkini projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Stesen 20 Pasar Jawa, pada Isnin. Foto Bernama

KLANG - DAP berharap isu konsert amal pendidikan yang membabitkan sumbangan serta tajaan sebuah syarikat minuman keras tidak dipolemikkan kerana perkara itu merupakan status quo dan sudah lama dipraktikkan di sekolah vernakular.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, perkara itu dibenarkan untuk sekolah vernakular namun perlu memastikan tajaan tidak melibatkan pelajar beragama Islam.

Iklan
Iklan

"Pendirian dan keputusan Kabinet pada tempoh hari adalah status quo iaitu apa yang diamalkan selama ini boleh dibenarkan untuk sekolah vernakular dan juga perlu memastikan bahawa ia tidak melibatkan pelajar-pelajar Islam,” katanya selepas meninjau perkembangan terkini projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Stesen Pasar Jawa di sini pada Isnin.

Anthony berkata, isu itu juga sudah dijelaskan oleh pelbagai pihak termasuk Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Iklan

Semalam, Mohamed Khaled ketika mengulas isu sumbangan bagi konsert amal pendidikan melibatkan syarikat minuman keras di sebuah sekolah Cina di Sepang baru-baru ini, dilaporkan berkata, amalan itu dibenarkan sejak pentadbiran kerajaan terdahulu termasuk kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah terbabit adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Iklan

Dalam pada itu, Anthony berkata, DAP mengambil pendirian untuk membantu kempen BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sekiranya diperlukan.

"Kita memang ada semangat perpaduan. Kita diminta untuk bantu, kita bantu seperti berlaku di PRK Pelangai. Kita turun dan jaga satu dua pusat daerah mengundi, deliver dan kita menangkan calon BN di PRK tersebut bersama-sama jentera mereka.

"Semasa (PRK) Kuala Kubu Baharu, kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada BN khususnya UMNO Selangor, kita ucapkan terima kasih,” katanya mengulas permintaan Pengarah PRK UMNO Nenggiri merangkap Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya DAP tidak turun berkempen di Nenggiri.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan sebagai calon mewakili BN selaku parti gabungan Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN itu yang diadakan susulan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. - Bernama