'Guru kelas beritahu Danish tidak hadir ke sekolah'

Iklan
Berita kehilangan Muhammad Effazaldanish yang tular di media sosial.

MUAR – [DIKEMAS KINI]"Guru kelas beritahu Danish tidak hadir ke sekolah semalam (Ahad),” kata kakak sepupu kepada Muhammad Effazaldanish Mohammad Effendy, 14, yang dilaporkan hilang sejak Ahad.

Muhammad Effazaldanish, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh yang mesra dipanggil Danish dilaporkan hilang selepas ke sekolah.

Iklan
Iklan

Kakak sepupunya, Siti Nurhaliza Mohd Asri, 25, berkata, dia dimaklumkan kehilangan Danish oleh salah seorang sepupunya yang pulang ke kampung di Pagoh.

Dia berkata, ini pertama kali Danish yang tinggal bersama neneknya, Jaminah Shari, 90, di Pagoh sejak kecil dilaporkan hilang.

Iklan

"Memang tak pernah berlaku sebelum ini (tak balik rumah) sebab dia akan maklumkan kalau nak ke mana-mana, tapi semalam nenek beritahu Danish tak balik ke rumah.

"Selain itu, cikgu kelas dia ada WhatsApp kepada ayahnya yang tinggal di Tampin mengenai Danish yang tidak hadir ke sekolah semalam...jadi memang dia tidak ke sekolah.

Iklan

"Ayahnya pun telah datang ke Pagoh dari Tampin dan laporan polis juga sudah dibuat terhadap kehilangan Danish di Balai Polis Pagoh,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Difahamkan Danish tinggal bersama neneknya di Pagoh sejak dia dilahirkan dan ibunya telah meninggal dunia manakala bapanya kini tinggal di Tampin, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan berkenaan.

Katanya, pihak polis kini sedang melakukan siasatan dan sedang mendapatkan fakta-fakta daripada beberapa saksi.