Wanita rentung pangsapuri terbakar: Lapan saksi dirakam keterangan

Iklan
Mohd Azam (Laporan Sinar Harian pada Ahad.)

AMPANG - Seramai lapan individu telah dirakam keterangan berkaitan kes seorang wanita ditemui rentung di pangsapuri di Taman Lembah Maju di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah memanggil dan merakam keterangan lapan saksi bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan jika terdapat sebarang elemen jenayah lain yang berlaku dalam insiden itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas wanita itu oleh Unit Forensik Hospital Tuanku Mukriz, pada jam 10.30 pagi, mendapati punca kematian disebabkan terhidu asap berlebihan dan luka kebakaran.

Iklan

"Seorang lelaki yang dipercayai kekasih kepada mangsa turut cedera dalam kejadian itu, masih belum sedar dan dirawat di Hospital Ampang," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan polis membuka kertas siasatan khianat dengan api dan kematian mengejut (SDR) berkaitan kes wanita ditemui rentung di pangsapuri tersebut.

Iklan

Ketika kejadian, lelaki itu baru pulang dari tempat kerja dan cuba menyelamatkan mangsa namun gagal menyebabkan dirinya turut melecur.

Mohd Azam dilaporkan berkata, kertas siasatan dibuka kerana disyaki mangsa melakukan khianat sehingga menyebabkan kebakaran.

Menurutnya, polis menerima panggilan pada 9.44 malam dimaklumkan kejadian kebakaran di tingkat bawah di kawasan Taman Lembah Maju, di sini.

Beliau berkata, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak forensik bomba yang turut hadir di tempat kejadian.