Hati Nora Danish dijentik

Iklan
Nora mengakui mendapat kebahagian sebenar kini.

SIAPA sangka, mula dibukakan pintu hati mengikut majlis ilmu menjadi titik-tolak perubahan aktres cantik manis, Nora Danish ke arah yang lebih baik.

Akui pemilik nama penuh Nora Mohd Danish Hanif itu, beliau sebenarnya sudah dua tahun mengumpul koleksi tudung dan selendang.

Iklan
Iklan

Namun, sesuatu yang berlaku baru-baru ini menguatkan hatinya untuk menurut perintah ALLAH kepada setiap wanita Islam.

"Pada awalnya ada terfikir, patutkah saya berubah perlahan-lahan tetapi hati kuat mengatakan sudah tibanya masa untuk berhijrah.

Iklan

"Apa yang berlaku membuatkan saya terus nekad untuk lakukan penghijrahan dan ia memberi impak yang sangat besar.

Siapa sangka, bermula menghadiri majlis ilmu menjadi titik-tolak penghijrahan Nora ke arah imej yang lebih baik.

"Cuma pada awalnya, saya tidak berani untuk beritahu sudah bertudung, takut ada rasa riak atau bangga. Alhamdulillah, saya selesa dengan diri sekarang, tidak ada rasa kekok dan lebih tenang bila sudah menutup aurat," katanya yang belum sedia berkongsi punca penghijrahannya kini.

Iklan

Masih kekal ramah seperti selalu, Nora turut meluahkan rasa terharu apabila rata-rata memberikan respons positif di atas penghijrahannya.

Malah, tidak kurang juga yang berkongsi doa agar beliau kekal istiqamah dengan imej baharunya.

"Alhamdulillah, semua berikan respons yang sangat positif. Ada yang mesej dan mengaku menangis sebab sudah lama menanti untuk melihat saya bertudung.

"Ada juga kawan-kawan yang ajar doa supaya kekal istiqamah dan saya akui bimbang juga jika ALLAH bolak-balikkan hati ini. Jadi, apa yang boleh dikatakan, saya harap semua doakan supaya diri ini kekal istiqamah," ujarnya.

Keutamaan Nora dan bekas suami kini terarah kepada anak-anak, terutamanya Mohamed Neyqal yang kini berusia enam tahun.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Perang Nasi Dagang di Stor Teater, Dewan Bahasa Pustaka Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dedah wanita kecil molek itu lagi, sejak kebelakangan ini, hatinya mudah tersentuh apabila melihat beberapa rakan baiknya beralih untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.

"Sejak awal lagi, saya memang sudah pasang niat untuk bertudung. Bila jumpa kawan-kawan yang sudah bertudung, saya akan peluk mereka dan kata, bilalah giliran saya untuk bertudung....

"Jadi saya rasa inilah masanya, ALLAH mahu saya jadi insan yang lebih baik..." katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga tidak terlepas daripada persoalan yang sama. Namun, bintang Sayu Yang Syukur itu merasakan sudah puas mengecap populariti.

Malah, beliau bersyukur kerana selama ini pelbagai perkara baik yang dikurniakan ALLAH SWT di sebalik segala dugaan serta ujian yang dilaluinya.

Nora

"Sepanjang saya hidup selama 42 tahun ini, ALLAH SWT sudah berikan bermacam rezeki yang tidak putus-putus buat saya. Contohnya, meskipun saya alami kegagalan dalam rumah tangga, Dia juga jadikan saya seorang yang cepat lupa pada kesedihan.

"ALLAH sudah berikan macam-macam rezeki sebelum ini, jadi apa lagi yang saya mahu? Di usia ini, memang saya sudah tidak ada apa lagi yang ingin dikejar,” jelasnya.

Bahagia

Sementara itu, kelibat Nora menjaga bekas suaminya, Nedim Nazri baru-baru ini telah menarik perhatian ramai sehinggakan ada yang menelah, pasangan itu akan rujuk semula sedikit masa lagi.

Namun bagi empunya diri, tiada apa-apa perubahan terhadap keputusannya sebelum ini.

Cuma sebagai seorang rakan dan bekas isteri, anak kelahiran Terengganu itu merasakan tidak salah buatnya meluangkan masa menjaga bekas suaminya itu.

"Ketika saya membuat keputusan untuk berpisah dengan Nedim, ia bukan satu hal yang mudah. Setakat ini, saya tiada perancangan untuk rujuk, tetapi tidak juga secara beria-ia berkata tidak mungkin akan kembali kepada dia kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang.

"Kalau nak cakap pasal bahagia, inilah yang saya cari. Mungkin saya kena lalui pelbagai dugaan sebelum ini yang akhirnya membawa saya kepada penghijrahan ke jalan ALLAH,” katanya.

Tegas Nora, apa yang penting adalah tanggungjawab mereka pada anak-anak terutamanya Mohamed Neyqal yang kini berusia enam tahun.