Pas tak halang keputusan Gerakan keluar PN

Iklan
Mohd Amar, Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Pas tidak menghalang sekiranya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengambil keputusan untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) susulan perbezaan pendapat berhubung kontroversi dana sekolah Cina.

Memetik laporan portal media tempatan, Naib Presiden Pas, Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata, terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan kerana setiap parti mempunyai hak dan pendirian masing-masing.

Iklan
Iklan

"Kalau Gerakan rasa dia tak selesa dengan PN. Dia boleh buat keputusan untuk keluar, tak ada masalah kerana ini negara demokrasi, terserah,” katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dilaporkan berkata bahawa parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Iklan

Pada Ahad, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan Pas mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kecewa dengan pendirian parti itu yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Mohd Amar berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat mendidik pelajar supaya menjadi insan berguna dan Pas menolak keras unsur tidak baik yang disumbangkan kepada institusi pendidikan itu.

Iklan

Menurutnya lagi, sekiranya Gerakan tetap dengan pendirian itu, pihaknya tidak mempunyai hak untuk memaksa mereka membuat sesuatu keputusan.

"Kerajaan sendiri pun tak benarkan syarikat rokok, arak, judi menaja...kerana ia memberi kesan tidak baik kepada masyarakat.

"Kalau dia (Gerakan) keluar kita nak buat macam mana, sebab kita tak ada hak nak paksa dia, nak tahan dia pun tak boleh, parti dia buat keputusan sendiri, terserah pada dialah,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai pemimpin parti komponen PN, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau sepatutnya menyokong sebarang nilai baik yang ditetapkan.

Bahkan, menurut Tuan Ibrahim, walaupun ada kemungkinan kenyataan dibuat pemimpin itu bersifat peribadi, namun jawatannya boleh ditafsir sebagai pendirian rasmi parti berkenaan.

"Kita (PN) kena sedar isu ini bukan masalah kita (pembangkang), tapi masalah kerajaan. Sepatutnya kerajaan selesaikan (kemelut itu) dan kita (PN) tegas dengan prinsip kita,” katanya.

Kata Tuan Ibrahim, jika kenyataan Dominic dan Gerakan itu bertujuan untuk meraih sokongan pengundi Cina kepada PN, ia bukanlah cara yang sepatutnya.

Jelas beliau, tidak wajar menormalisasikan sesuatu perkara negatif kepada pelajar, sama ada melalui syarikat bir atau rokok.

"Sama ada Cina, Melayu dan lain-lain, nilai moral perlu diberi perhatian serta tidak mahu ada kaum tertentu tidak hiraukan nilai moral sebab kita semua rakyat Malaysia,” jelasnya.