Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang calon PN PRK Nenggiri

Iklan
Mohd Rizwadi (tiga dari kiri) merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang diumumkan sebagai calon PN bagi PRK DUN Nenggiri pada Isnin.

GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, 41, diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada majlis pengumuman calon PN di Masjid Hijau Renok di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Hadir sama Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi calon yang akan mewakili PN.

Iklan

Sebelum ini dua nama iaitu Sheikh Razali Hamad dan Sun Najaman Muhamad disebut-sebut bakal menjadi calon Bersatu bagi PRK DUN Nenggiri.

Sementara itu Mohd Nassuruddin semasa ucapan pengumuman itu berkata, Mohd Rizwadi adalah aktivis politik yang aktif di Gua Musang.

Iklan

Katanya, selain itu beliau merupakan penduduk di Bertam Lama, Nenggiri.

"Berasaskan kepada komitmen, saya yakin PN akan mencapai kemenangan besar pada PRK Nenggiri nanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

SPR memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal 13 Ogos dan pengundian 17 Ogos.

Sementara itu, Ahmad Faizal menjelaskan bahawa Mohd Rizwadi menjadi ahli parti itu baru-baru ini.

Beliau berkata, Bersatu tidak melihat perkara itu sebagai satu isu kerana beliau mewakili PN.

"Semua keputusan yang dibuat secara bersama oleh kedua-dua pucuk pimpinan tertinggi parti," katanya.

Menurut beliau, pada masa sama keputusan tersebut diterima dengan penuh baik oleh seluruh jentera parti.

Beliau yakin calon yang ditampilkan itu mampu menepati citarasa pengundi di kawasan tersebut.

Ahmad Faizal berkata, keputusan meletakkan calon muda mengambil kira jumlah pengundi yang majoritinya adalah anak muda.

"Bagi saya pengumuman yang kita buat tidak lewat. Kami yakin kita mampu kekalkan kerusi Nenggiri," katanya.