PADANG TERAP - Cuaca panas yang berpanjangan menyaksikan Tasik Pedu, di sini surut dengan ketara sehingga mula menampakkan kawasan perkampungan yang ditenggelamkan sebelum ini.
Seorang penduduk tempatan, Mohamad Abdullah, 45, berkata, situasi setakat ini masih lagi tidak kritikal berbanding tahun 2020 dan semasa fenomena El Nino berlaku pada 2016.
Menurutnya, walaubagaimanapun jika panas berterusan dan tidak hujan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, dia percaya paras air di tasik tersebut akan terus surut.
"Saya terkejut juga sebab selalu penuh air dekat sini tapi sekarang surut banyak dan ada kawasan yang kering terus.
"Paras air di Tasik Pedu ini ini pun dalam dua tiga minggu lagi mungkin lebih teruk daripada dulu (jika masih tidak hujan)," katanya semasa ditemui di Kampung Mong Gajah, dekat sini.
Tasik Pedu yang surut tersebut menyaksikan beberapa kawasan di sekitarnya mengering dan boleh dilalui oleh pengunjung yang menaiki kenderaan untuk menyaksikan fenomena tersebut.
Seorang lagi pengunjung, Nadia Farhana Mohd Raznan, 37, berkata, dia datang ke empangan itu untuk melihat sendiri secara dekat keadaan empangan yang dikatakan mengering.
Menurutnya, biarpun teruja dapat melihat sendiri keadaan Tasik Pedu yang surut, namun risau air terus mengering, ia pasti memberikan kesan kepada domestik dan pertanian.
"37 tahun hidup, ini baru pertama kali tengok macam ini.
"Rasa teruja pun ada juga sebab duduk dalam tasik kan sebelum ni kita lalu tengok sahaja Tasik Pedu," ujarnya.
Tambahnya, penduduk juga berharap Operasi pembenihan awan (OPA) di Empangan Pedu menerusi pesawat milik Tentera Udara Malaysia (TUDM) kira-kira jam 2 petang pada Isnin akan berhasil.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, kerajaan akan melaksanakan OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Pada Ahad, media melaporkan taburan hujan yang rendah dijangka berterusan hingga bermula fasa peralihan monsun dengan situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, keadaan itu berlaku berikutan negara berada dalam musim monsun barat daya sejak 17 Mei lalu.