Pegawai bank jadi mangsa phone scam rugi lebih RM260,000

Iklan
Seorang pegawai bank berputih mata apabila wang simpanan lebih RM260,000 dalam akaun banknya lesap angkara sindiket 'phone scam'. Gambar hiasan

KUANTAN - Seorang pegawai bank berputih mata apabila wang simpanan lebih RM260,000 dalam akaun banknya lesap disyaki angkara sindiket 'phone scam' yang menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian menimpa lelaki berusia 55 tahun itu berlaku selepas menerima panggilan daripada 'pegawai SKMM' terbabit 16 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui panggilan itu, mangsa diberitahu kononnya dia dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan satu kes jenayah komersial.

"Panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar pegawai polis kononnya bagi tujuan semakan dan siasatan.

Iklan

"Suspek telah memerangkap mangsa kononnya kes terbabit sudah dalam tindakan pihak berkuasa apabila surat perintah penangkapan dan perintah pembekuan aset telah dikeluarkan pejabat Mahkamah Persekutuan ke atasnya.

"Bimbang dikenakan tindakan, mangsa telah memindahkan semua wang dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan pada 23 Julai lalu ke dalam satu akaun sebelum menyerahkan maklumat perbankan miliknya itu kepada suspek seperti yang diarahkan," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Iklan

"Semakan pihak bank mendapati wang di dalam akaun miliknya berkurangan apabila berlaku beberapa transaksi pengeluaran melibatkan jumlah keseluruhan RM260,400," katanya.

Yahaya berkata, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu katanya, orang ramai yang menerima panggilan meragukan diingatkan agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Bagi mangsa yang disyaki ditipu boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Talian 997 segera dalam tempoh kurang 24 jam," ujarnya.