IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbincangan mengenai agama, budaya dan tamadun lain adalah perlu bagi membentuk persefahaman terutama dalam konteks negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.
Beliau berkata, persefahaman yang dicapai melalui penglibatan itu dapat mengelak salah faham mengenai Islam yang menjadi punca penyebaran Islamfobia.
Menurutnya, di Barat, meskipun zaman penjajahan berlalu, mereka masih mengekalkan ajaran lama yang mengakibatkan salah faham, kehilangan maklumat dan penolakan terhadap orang lain.
"Apabila bercakap tentang tamadun, kita juga perlu dipersalahkan.
"Bagaimana kita dapat bertahan dan hidup dalam negara seperti Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta mengelak daripada membincangkan agama, budaya, tamadun lain dan kemudian menuntut negara Barat memahami kita.
"Jadi saya fikir, ia adalah berkaitan penglibatan yang diperlukan oleh kita untuk membuat orang lain memahami kita, dan untuk kita memahami mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Isnin.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan hadir pada persidangan berkenaan.
Persidangan kali ke-7 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kali ini membawa tema Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat.
Anwar berkata, langkah menganjurkan persidangan seperti WCIT yang menggalakkan dialog dan perbincangan mengenai Islam adalah langkah yang tepat dan relevan bukan sahaja untuk keperluan Malaysia tetapi rantau ini.
Katanya, ruang berkenaan memberikan masyarakat belajar antara satu sama lain, memahami dan menghargai perbezaan dari segi kaum, suku dan warna kulit yang dianugerahkan ALLAH.
"Saya tentunya menyokong ikhtiar yang dimulakan sekian lama ini, meneruskan wacana bicara permasalahan Islam dan umat, kebudayaan dan tamadun yang boleh diserasikan dengan tuntutan semasa masyarakat dunia yang rencam," katanya.