JOHOR BAHRU - Polis pada Isnin menafikan berlakunya kes cubaan menculik seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di depan sebuah restoran makanan segera di Bukit Tiram di sini, pada 3 Jun lepas sebagaimana yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 49 tahun semalam selepas anaknya mendakwa cuba dilarikan oleh individu tidak dikenali yang menaiki van putih ketika pulang dari sekolah sekitar jam 6.45 petang.
"Kejadian yang dilaporkan tidak berlaku sebaliknya hanya rekaan remaja tersebut untuk menarik perhatian pengadu setelah ditegur lewat menaiki van sekolah semasa pulang dari sekolah," menurutnya dalam kenyataan malam Isnin.
Justeru itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memberikan perhatian dan mengawasi pergerakan anak-anak di luar atau di dalam rumah manakala orang ramai dinasihat tidak mudah panik atau membuat sebarang spekulasi terhadap sesuatu berita tanpa kesahihan sehingga boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, tular di media sosial laporan polis berhubung kes cubaan menculik itu dengan hantaran yang memohon ibu bapa dan pemandu van sekolah supaya sentiasa peka dengan keselamatan anak-anak. - Bernama