Olimpik Paris 2024: Tuah penampilan sulung Jin Wei

Iklan
Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei beraksi menentang pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle hari ini. Foto Bernama

PEMAIN profesional wanita negara, Goh Jin Wei memulakan kempen sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan langkah kanan apabila mengatasi juara Sukan Afrika dua kali, Johanita Scholtz pada acara perseorangan Kumpulan H di di sini hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena tersebut, pemain berusia 24 tahun itu terpaksa berhempas pulas pada set pertama dan berjaya menemukan rentak pada set kedua sebelum menang 23-21, 21-11 ke atas pemain ranking 103 dunia itu.

Iklan
Iklan

Namun, pemain nombor 32 dunia Jin Wei, tanpa kehadiran jurulatihnya Nova Armada, tidak berada dalam prestasi terbaiknya semasa perlawanan itu dan bakal berdepan ujian getir apabila bertemu pemain ranking ke-17 dunia dari Korea Selatan Kim Ga Eun, Rabu ini.

Justeru, pertemuan dengan lawan dari Korea itu akan menjadi penentu juara kumpulan.

Iklan

Mengikut format pertandingan, hanya juara kumpulan dalam acara perseorangan layak ke pusingan 16 terakhir.

"Saya rasa agak tegang dan tertekan, tidak tahu apa yang berlaku, hampir menggeletar...Macam tak biasa lagi. Namun, berjaya mendapatkan rentak pada set kedua dan agak bernasib baik untuk menang.

Iklan

"Tetapi saya rasa banyak kerja yang perlu dilakukan dalam perlawanan kedua seperti meningkatkan kawalan di gelanggang. Penonton di sini sangat hebat, mereka menyokong semua pemain tidak kira siapa," katanya selepas perlawanan itu.

Susulan bersendirian di sini, Jin Wei menerima bimbingan daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen.

Jin Wei tidak ditemani jurulatih profesionalnya Nova di sini berikutan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Berdasarkan rekod, Jin Wei hanya menang sekali dalam tiga perlawanan menentang Ga Eun manakala perlawanan terakhir antara mereka di Terbuka Korea 2022 memihak kepada pemain tuan rumah. - Bernama