LEGENDA tenis, Rafael Nadal terpaksa melupakan impian untuk menambah koleksi pingat di Sukan Olimpik selepas tewas kepada Novak Djokovic 6-1, 6-4 dalam pusingan kedua, demikian laporan Agensi Berita Jerman (dpa).
Walaupun Nadal masih beraksi dalam acara beregu bersama Carlos Alcaraz, harapan untuk melihat aksi beliau di gelanggang dalam acara perseorangan masih menjadi tanda tanya.
Nadal, 38, yang sering dihimpit kecederaan menyuarakan kemungkinan ini musim terakhirnya. Setelah tersingkir awal di Terbuka Perancis dan mengelak daripada Wimbledon serta kekalahan ini, spekulasi mengenai penyertaannya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) semakin hangat diperkatakan.
Djokovic, mendahului dengan rekod 24 gelaran Grand Slam lelaki, manakala Nadal kedua dalam senarai rekod sepanjang zaman dengan 22 gelaran. Nadal yang tidak mendapat pengecualian untuk Sukan ini, terpaksa berdepan dengan Djokovic yang berada dalam prestasi terbaiknya.
Djokovic menguasai permainan sejak awal dengan mendahului 2-0 dalam set pertama di Court Philippe Chatrier, tempat Nadal pernah berjaya memenangi Terbuka Perancis sebanyak 14 kali.
Juara perseorangan Olimpik 2008 itu hanya mampu memberi sedikit saingan ketika beliau bangkit daripada ketinggalan 0-4 menjadi 4-4 dalam set kedua.
Djokovic yang masih belum memiliki pingat emas Olimpik, kini semakin hampir untuk memenuhi koleksi kejayaannya setelah memenangi Terbuka Perancis tiga kali.
Beliau akan bertemu Dominik Koepfer dari Jerman atau Matteo Arnaldi dari Itali pada pusingan ketiga. - Bernama-dpa