MERAK Jalanan tercengang bila dengar seorang pempengaruh media sosial yang sedang popular ketika ini mengatakan segulung ijazah tidak akan membantu dirinya untuk berjaya.
Jelas pemuda itu, dia tidak mahu bekerja dengan orang dan ijazah yang diperoleh tidak membantu dirinya mencapai misi dalam kehidupannya.
Lebih mengejutkan, katanya, ijazah sebenarnya perlu dibeli kerana ia melibatkan duit, dan ilmu itu boleh diperoleh di mana-mana sahaja.
Ini adalah satu lagi pandangan yang bertentangan norma kehidupan masyarakat. Ia sama seperti kata-kata yang pernah diungkapkan sebelum ini iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi penting dan tidak ada nilai.
Mesej-mesej negatif ini juga sudah sampai kepada generasi muda dan mengejutkan ramai bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan.
Ya, memang pandangan tersebut ada benarnya tetapi ia haruslah difahami dalam konteks yang betul dan tidak disalahertikan sehingga yang mendengarnya pula mengikut secara membabi buta.
Pandangan-pandangan songsang yang dikumandangkan di media-media sosial ini tidak sesuai untuk semua orang dan tidak boleh dijadikan ikutan.
Mungkin Merak Jalanan mempunyai pemikiran yang konservatif dalam isu ini, namun seseorang itu mempunyai dua pilihan untuk berjaya dalam hidup.
Sama ada mencapai cita-cita dan misi dalam masa yang singkat atau perlu menimba pengalaman untuk mendapatkan ilmu dalam masa yang panjang.
Memang ada individu yang berjaya walaupun tidak ada sijil di tangan tetapi golongan seperti ini tidak ramai dan mereka perlu juga perlu melalui proses pelajaran tidak formal.
Jadi, Merak Jalanan harap golongan pempengaruh ini berhati-hatilah ketika berkata-kata dan jangan terus menyesatkan pemikiran orang.
Bahasa kasarnya, bodoh itu simpanlah untuk diri sendiri sahaja.