KUALA TERENGGANU -"Selama 48 tahun saya menenun songket, ini kali pertama saya hasilkan tenunan untuk Yang di-Pertuan Agong," ujar Maznah Mat, 62.
Maznah atau mesra dipanggil Kak Nah menyatakan rasa terharu dan bangga apabila menyaksikan Seri Paduka Baginda sudi mencemar duli menyarungkan hasil tenunannya itu sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada 20 Julai lepas.
Anak kelahiran Terengganu itu mengakui tugas yang dijalankan agak mencabar, namun ia adalah satu penghormatan buat dirinya untuk menghasilkan pelengkap busana kebesaran Raja-Raja Melayu iaitu samping, bengkung selain penggunaan motif gambir serta lada hitam yang menghiasi tengkolok.
"Saya tidak menyangka menerima kunjungan daripada beberapa pihak istana pada awal Mac lepas berhubung penghasilan samping, bengkung dan tengkolok bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
"Ketika itu saya ditanya oleh pihak istana adakah sanggup untuk menghasilkan satu persalinan songket untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
"Tanpa berfikir panjang dan rasa teruja, saya terus bersetuju menerima pelawaan tersebut, namun rasa takut mula muncul ketika proses melakukan tenunan songket kerana terlintas di fikiran satu perasaan jika tersilap atau Tuanku tidak berkenan dengan sentuhan.
"Alhamdulillah... saya berasa lega dan gembira apabila pihak istana memaklumkan bahawa songket yang dihasilkan itu cukup cantik dan sempurna,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Kak Nah berkata, dia turut dibantu anaknya, Syarifah Hanisha Tuan Wook, 22, yang berkelulusan Diploma Jurusan Tenunan Institut Kraf Negara, Rawang bagi membuat lakaran graf berdasarkan corak daun gambir dan lada hitam yang diberikan.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata, proses menghasilkan persalinan diraja itu mengambil masa selama tiga bulan kerana ia melibatkan proses yang rumit selain memerlukan penelitian yang sempurna.
"Proses pembuatannya mengambil tempoh yang lama kerana ia merupakan kerja tangan sepenuhnya bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan kemudian menenun.
"Saya menggunakan benang sutera yang berkualiti untuk menghasilkan persalinan diraja itu. Saya bekerja siang dan malam untuk siapkan persalinan diraja itu dengan pemantauan berkala daripada pihak istana.
"Saya juga akan hantar gambar kepada pihak istana sebelum teruskan proses menenun bagi memastikan ia disiapkan dengan baik dan sempurna. Ada juga yang perlu diubah dan dibaiki dan proses menyiapkannya perlu dilakukan secara teliti," ujarnya.
Kak Nah yang berpengalaman menghasilkan songket sejak berusia 14 tahun menjelaskan kerja penenunan songket adalah proses rumit selain memerlukan perhatian serta tingkat kesabaran tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata, keindahan setiap hasil songket yang dihasilkan itu memberi kepuasan terhadap dirinya.
"Saya hanya menghasilkan songket ini di kediaman sendiri di Kampung Raja Baran, Chendering. Saya sudah mengambil upah menenun songket daripada jiran dan penduduk setempat sejak 1970-an lagi.
"Setelah itu, songket dihasilkan saya mula dikenali sehingga menerima tempahan daripada kerabat diraja Selangor dan pembesar-pembesar istana.
"Alhamdulillah...rezeki saya apabila tahun ini saya terpilih untuk menghasilkan persalinan diraja bagi Yang di-Pertuan Agong ke-17.
"Saya laksanakan tugas dan amanah ini dengan sebaiknya dan apabila sesuatu istiadat telah selesai dan Tuanku berpuas hati, saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana dapat menjadi sebahagian yang terlibat dalam menghasilkan sesuatu yang istimewa buat Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.
Dalam pada itu, Kak Nah menyatakan sebelum ini dia juga menerima tempahan untuk menyiapkan persalinan bagi Hari Keputeraan Sultan Selangor sejak tahun 2000.
"Sehingga kini masih menerima tempahan untuk menyiapkan persalinan songket untuk kerabat diraja Selangor dan pembesar-pembesar istana," ujarnya.