KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan menggantung sementara visa kepada warga China dari Bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekitarnya, tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
Pengerusi Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC), Tan Kok Wai berkata, hubungan secara mendalam antara dua negara itu sudah lama terjalin melalui pelbagai kerjasama.
Menurutnya, sebenarnya kerajaan China sendiri sudah menyekat rakyat mereka dari Wuhan keluar dari bandar itu termasuk ke luar negara.
"Jadi saya rasa ia tidak memberi masalah kepada hubungan China dan Malaysia kerana kita sudah lama ada hubungan baik.
"Bukan sahaja Tahun Melawat Malaysia tetapi tahun ini juga merupakan tahun mempromosikan pelancongan dan kebudayaan antara kedua-dua negara.
"Sekarang ini adalah masa yang mencabar buat China maka saya harap komuniti global termasuk Malaysia bekerjasama membantu China menghentikan penularan agar keadaan kembali seperti sediakala," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Selangor King George V (SKGV) yang disempurnakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia), Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Hadir sama Ketua Pemegang Amanah SKGV, Datuk Teng Chan Kim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Makanan Malaysia, Ab Wahab Long dan Pengarah Eksekutif 99 Speed Mart Sdn Bhd, Ng Lee Tieng.
Pada majlis tersebut, Dr Siti Hasmah menyampaikan sumbangan 70 hamper makanan kepada penghuni warga emas selain dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan yee sang sebagai simbolik sambutan perayaan itu.
SKGB ditubuhkan sejak 1930 dan kini mempunyai 36 penghuni warga emas wanita berbangsa Cina berumur 65 tahun hingga 97 tahun dari kalangan golongan memerlukan.
Pejabat Perdana Menteri semalam memaklumkan keputusan kerajaan menggantung sementara kemudahan imigresen termasuk tanpa visa kepada warga China dari Bandar Wuhan, wilayah Hubei dan sekitar yang terjejas akibat koronavirus.
Keputusan yang berkuasa kuasa serta-merta itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan virus berkenaan.