KEM badminton negara meneruskan momentum positif pada hari ketiga temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi kejayaan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Beregu di ranking kesembilan dunia itu, berjaya menjinakkan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping untuk muncul juara Kumpulan A di Porte de La Chapelle Arena.
Pertarungan yang berlangsung selama 70 minit itu tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit mengejutkan Yan Zhe-Dong Ping 17-21, 21-15, 21-16 di hadapan kira-kira 8,000 penonton untuk muncul juara Kumpulan D.
Ia memastikan mereka mengelak lawan yang lebih sukar pada suku akhir Rabu ini apabila diundi menentang gandingan nombor lapan dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun..
Permulaan positif Tang Jie-Ee Wei diteruskan oleh bekas juara dunia remaja Goh Jin Wei dalam saingan perseorangan wanita Kumpulan H.
Pemain berusia 24 tahun itu, membuka kempennya dengan kemenangan 23-21, 21-11 ke atas pemain ranking 103 dunia Johanita Scholtz dari Afrika Selatan.
Sementara itu, beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur sebagai naib juara kumpulan A selepas tunduk kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 22-24,14-21,
Keputusan itu menyaksikan mereka bakal mengharungi laluan lebih sukar pada pusingan kalah mati yang bakal diundi selepas kesemua aksi peringkat kumpulan berakhir pada Selasa.
Fokus utama kontinjen negara pada Selasa akan terarah kepada beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang berdepan misi hidup mati menentang gandingan nombor enam dunia dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada aksi terakhir Kumpulan A.
Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu yang bangkit daripada kekecewaan 17-21, 20-22 kepada beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada Sabtu, berjaya mencipta kejutan ke atas juara dunia dua kali dari Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara semalam.
Selain itu, pemanah negara Syaqiera Mashayikh akan memulakan pusingan kalah mati acara individu menentang Alexandra Mirca dari Moldova pada tengah hari untuk memburu tiket ke pusingan 32 terakhir. - Bernama