Norlia Ghani guna TikTok ubati kerinduan pada peminat

Iklan
Norlia yang mesra membahasakan dirinya 'mama', berkata aplikasi media sosial itu membolehkan beliau berinteraksi secara dua hala dengan peminat. - Foto Bernama
LEBIH setahun tidak menerima tawaran berlakon dan bertemu peminat secara fizikal, pelakon veteran, Norlia Ghani kini berjinak-jinak dengan platform TikTok bagi melepaskan rindu kepada peminatnya.

Norlia, 76, yang mesra membahasakan dirinya 'mama' berkata, aplikasi media sosial itu membolehkan beliau berinteraksi secara dua hala dengan peminat.

"Sekurang-kurangnya (menerusi siaran langsung di TikTok) dapatlah berbual dengan peminat mama... sudah cukup membahagiakan. Mama sekarang banyak menghabiskan masa di rumah, (jadi) bila dapat bersembang dengan peminat, sekurang-kurangnya adalah aktiviti yang boleh dibuat.

"TikTok mama ini tidak ada 'content'... orang bagi salam kita jawab, ada yang murah hati berkongsi 'gift' kita terima. Mama di sini bukan mahu mencari glamor, sejak 1969 lagi mama dah dapat semua itu," katanya ketika ditemui di program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0, di sini baru-baru ini.

Norlia (kanan), ditemubual wartawan di Glenmarie Shah Alam. Foto Bernama
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Pelakon yang popular dengan watak Joyah dalam drama Opah pada era 80-an serta watak Datin Nora dalam filem Mami Jarum itu, berkata beliau pernah menerima hadiah berjumlah RM800 dalam tempoh sehari bersiaran langsung di aplikasi berkenaan.

"Kali pertama mama bersiaran langsung, terus dapat satu juta tanda suka. Mungkin inilah medium terbaharu untuk mama mencari rezeki.

"Ini (hadiah) mama tak perlu meminta-meminta, kita tidak mahulah minta-minta orang bagi gift. Biarpun dapat RM100 atau RM200, mama sudah bersyukur, sebab duduk di rumah sahaja dengan bermodalkan 'bercakap,” katanya.

Walaupun ada yang mengecam kehadirannya di aplikasi tersebut, ibu kepada aktor Rusdi Ramli itu menerimanya dengan hati terbuka.

Berkaitan dengan kerjaya lakonannya, Norlia reda tidak lagi menerima sebarang tawaran, namun percaya rezeki ada di mana-mana.

"Mama tahu mama sudah tua, mama tidak kisah, kita terima sahaja. Pendatang baharu (sekarang) banyak. Selain itu, pelakon yang dulu bawa watak kakak, sekarang dah jadi (watak) mak," katanya.

Terdahulu, Norlia antara 20 artis veteran yang menerima sumbangan wang tunai RM5,000 serta bekalan produk makanan tambahan kesihatan daripada sebuah syarikat swasta. - Bernama