KDEBWM didik pelajar hargai seni, budaya dan tradisional Malaysia

Iklan
Pemenang pertama kategori sekolah menengah, SMK) Seksyen 10 Kota Damansara bagi pertandingan dikir barat sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) di sini, pada Jumaat.

SHAH ALAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari Dua dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 10 Kota Damansara dinobat juara dalam pertandingan dikir barat sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) di sini, pada Jumaat.

Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, susulan kemenangan tersebut, kedua-dua sekolah itu membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta hamper serta e-sijil penyertaan.

Iklan
Iklan

Pemenang pertama kategori sekolah rendah, SK Subang Bestari Dua.


"Naib juara bagi kategori sekolah rendah dirangkul oleh SK Sungai Pelong, tempat ketiga SK Sungai Binjai dan SK Jalan Kebun di tempat keempat. Bagi kategori sekolah menengah pula, SMK Bandar Baru Sungai Buloh mendapat naib juara diikuti SMK Rantau Panjang, SMK Jalan Bukit, Idrissi International School dan SMK Alam Megah.

"Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM700 serta RM500. Pemenang di tempat keempat dan kelima juga membawa pulang wang tunai RM300 serta kategori pakaian terbaik pula menerima RM200 yang dimenangi oleh SK Jalan Kebun dan Idrissi International School.

Iklan

"Semua pasukan turut mendapat hamper serta e-sijil penyertaan," katanya ketika majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut pada Jumaat.

AHMAD RIZAL


Menurutnya, pertandingan dikir barat bertemakan alam sekitar melibatkan empat pasukan sekolah rendah dan enam sekolah menengah itu cukup hebat dan sengit.

Iklan

Ujar beliau, pertandingan tersebut memberi pendedahan pengetahuan dan pendidikan buat pelajar mahupun sesiapa sahaja.

"Kami berharap pesanan disampaikan mereka mengenai penjagaan alam sekitar dapat diterapkan dalam kehidupan kita. Persekitaran yang bersih menjadi tanggungjawab dan hak kita bersama.

"Kita semua harus bekerjasama dan memainkan peranan untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Penglibatan pelajar ini juga dapat menyampaikan mesej alam sekitar dengan lebih berkesan selain berhibur," ujarnya.

Menurut Ahmad Rizal, selain kempen kesedaran penjagaan alam, penyertaan KDEBWM dalam Karnival Rakyat Karangkraf melalui pertandingan dikir barat juga sebagai inisiatif mengangkat seni warisan dikir barat untuk terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Katanya, KDEBWM berperanan mengendalikan kerja kutipan sampah dan pembersihan awam di Selangor, justeru pihaknya perlu mendidik masyarakat aspek pengurusan sampah yang betul secara berterusan.

Pengalaman berharga

Dalam pada itu, guru SK Subang Bestari Dua, Dasuki Mohamed berkata, pertandingan tersebut sangat bermanfaat khususnya kepada pelajar.

"Ia menonjolkan bakat-bakat murid dan pelajar, mengekalkan seni dan kebudayaan masyarakat Melayu dalam kalangan mereka. Terima kasih penganjur dan penaja atas usaha ini," katanya.

Persembahan dikir barat 10 pasukan sangat sengit.


Pelajar Tingkatan Tiga Idrissi International School, Mia Anggun Nareesya Mohd Zamri mengakui teruja menyertai pertandingan yang baru kali pertama disertai itu.

Ujar Mia, pasukan dikir barat sekolahnya hanya membuat persembahan di sekolah untuk program tertentu sahaja sebelum ini.

"Ini kali pertama pasukan kami menyertai pertandingan di luar sekolah. Saya tidak menyangka untuk membuat persembahan di karnival yang besar begini. Ini pengalaman yang sangat berharga.

"Semoga program ini akan diadakan pada setiap tahun untuk memberikan peluang kepada kami mengembangkan bakat dalam bidang seni," ujarnya.

SK Jalan Kebun yang menjuarai kategori pakaian terbaik.


Sementara itu, Ketua Cawangan KDEBWM Sepang, Ali Manan yang juga salah seorang juri bagi pertandingan berkenaan berkata, persembahan 10 pasukan dikir barat tersebut sangat menepati tema.

Katanya, semua pasukan sangat hebat sehinggakan jumlah markah antara mereka hanya berbeza sedikit angka sahaja.

"Pemakaian SK Jalan Kebun sangat menepati ciri tradisional masyarakat Melayu dalam persembahan dikir barat," katanya.