KUALA TERENGGANU - Kerajaan Pusat diingatkan supaya mengenang jasa Terengganu berhubung perolehan minyak dan gas di perairan negeri itu.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan Terengganu telah berkorban dengan memberi hasil minyak dan gas kepada kerajaan Pusat supaya negara ini stabil dan baik dari segi ekonomi.
Beliau mendakwa susulan itu terbentuknya pelaksanaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Royalti 1975 berhubung perkara tersebut.
"Petroleum ini hak ALLAH... DIA boleh beri dan DIA boleh tarik. Kita ini tolong uruskan sahaja.
"ALLAH suruh urus dengan adil maka uruslah dengan adil dan jangan ambil hak orang tak tentu hala.
"Kamu (kerajaan Pusat) kena ingat jasa Terengganu. Kamu bawa alasan apa sekali pun. Itu fakta sejarahnya.
"Kamu ambil hak rakyat Terengganu kemudian beri balik atas nama apa sekali pun hakikatnya ia adalah hak Terengganu," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Pada Isnin lepas, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan isu bayaran tunai hasil petroleum kepada kerajaan Terengganu adalah tidak berbangkit kerana tiada petroleum yang didapati dan diperoleh di dalam negeri itu.
MOF menjelaskan apa-apa hasil dari medan petroleum pantai timur Semenanjung Malaysia adalah didapati dan diperoleh di luar perairan negeri iaitu melebihi tiga batu nautika yang diukur daripada garis air surut pantai wilayah selaras dengan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).
Menurut kementerian itu, bayaran tunai hasil petroleum akan dibayar terus kepada negeri sekiranya didapati dan diperoleh dalam perairan wilayah tiga batu nautika yang diukur daripada garis air surut selaras dengan Akta 750.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, pihaknya akan berusaha untuk menuntut tunggakan pembayaran penuh wang royalti minyak negeri itu.
"Kamu kena ingat bahawa rakyat Terengganu ada ALLAH.
Kami akan usaha untuk kembalikan hak (royalti minyak) pada kami," ujarnya.