Smart Lane di Lebuhraya KLK tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor

Iklan
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Pengaktifan laluan Smart Lane di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor antaranya perlu mengambil kira laluan yang berselekoh serta berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Smart Lane merujuk kepada penggunaan bahu jalan raya atau lorong kecemasan secara terkawal untuk dijadikan sebagai lorong tambahan yang bertujuan menambah kapasiti lebuh raya bagi menyuraikan aliran trafik semasa berlaku kesesakan atau kemalangan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum Smart Lane itu dibenarkan untuk diaktifkan di mana-mana bahagian lebuh raya adalah kelebaran bahu jalan sedia ada dan faktor geometrik jajaran lebuh raya terlibat.

"Atas sebab itulah Smart Lane ini tidak dapat dilaksanakan di Lebuhraya KLK kerana kelebaran bahu jalan di lorong kecemasan tidak mencukupi untuk dilalui oleh kenderaan selain laluan yang berselekoh serta berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan Smart Lane di Lebuhraya KLK untuk mengurangkan kesesakan terutamanya pada hujung minggu.

Nanta berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi ANIH Berhad (ANIH) telah merancang beberapa tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengatasi isu kesesakan di KLK.

Beliau berkata, tindakan itu antaranya melaksanakan penyaluran lorong di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya itu antara Kilometer 64.3 berdekatan susur persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), di pusingan U di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dan jalan susur ke Genting Highlands, bagi mengurangkan 'konflik' dan melancarkan pergerakan trafik.

Menjawab soalan asal Manolan yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan had laju minimum untuk mengawal kesesakan di lebuh raya, Nanta berkata, had laju kelajuan 110 kilometer per jam (km/j) di lebuh raya antara bandar (dan 80 hingga 90 km/j lebuh raya dalam bandar pada masa ini adalah memadai dan bersesuaian keadaan pemanduan di negara ini.

"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan kualiti infrastruktur lebuh raya berada dalam keadaan terbaik demi manfaat semua," katanya. - Bernama