PONTIAN - Seorang wanita dan seorang lelaki warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret dekat sini, pada Selasa atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap suaminya pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Syuzzana Yahaya, 32, mengaku bersalah manakala Mohd Feardous Osman, 42, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nur Azzuin Abdul Moati.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan melalui aplikasi WhatsApp kepada Zakaria Mohd Nooh, 41, dengan mendatangkan ketakutan terhadapnya untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jasa Sepakat, Batu 30, Jalan Johor, Pekan Nanas di sini pada jam 12.14 tengah hari, 26 Julai lalu.
Mengikut fakta kes, pesanan WhatsApp itu meminta wang sebanyak RM2,000 dipindahkan ke dalam akaun selain ugutan tidak melibatkan polis jika tidak mahu isteri dan anak-anak mati kelaparan atau salah seorang ahli keluarga tidak akan selamat.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana hukuman tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.
Nurezzati kemudiannya meminta mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas Syuzzana yang mengaku bersalah mengambil kira pemerasan yang dilakukan terhadap suaminya sendiri dan membabitkan tiga anak kandungnya.
Tegasnya, hukuman terbabit sebagai pengajaran kepada wanita terbabit agar tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.
Bagi Mohd Feardous pula, wang jaminan RM8,000 ditawarkan kepadanya oleh pendakwa raya sebelum dia merayu dikurangkan kerana mempunyai seorang anak dan hanya bekerja di kedai makan dengan gaji bulanan sebanyak RM1,000.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 kepada Syuzzana, jika gagal bayar denda akan dipenjara tiga bulan.
Sementara ikat jamin bagi Mohd Feardous ditetapkan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September sebagai serahan dokumen dan sebutan kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang disangka hilang bersama tiga anak ketika dalam perjalanan pulang ke kampung rupanya bersekongkol dengan teman lelaki untuk mengugut suami sendiri menyerahkan wang sebanyak RM2,000.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, suami suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membuat laporan polis pada jam 9.47 malam Jumaat.
Jelasnya, bertindak atas maklumat dua serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan di Kluang pada malam Sabtu.