Pusat Subfertiliti Negara dijangka beroperasi 2029

Iklan
Anfaal (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Juwairiya (dua dari kanan)

SHAH ALAM - Pusat Subfertiliti Negara (PSN) yang pertama di Malaysia dengan kos pembinaan sebanyak RM171 juta di Seksyen 17, Shah Alam dijangka beroperasi bermula pada 2029.

PSN menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan kepakaran rawatan kesuburan menyeluruh kepada pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan dari seluruh negara.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Juwairiya Zulkifli berkata, pusat itu mengandungi pelbagai komponen perkhidmatan subfertiliti.

Selain itu, ia dilengkapi sektor pentadbiran, kepakaran dan perawatan klinikal serta makmal diagnostik yang menempatkan pelbagai kepakaran dalam memberi perkhidmatan subfertiliti terbaik negara.

Iklan

"Pusat subfertiliti ini adalah yang pertama dan dibina di Seksyen 17, Shah Alam dan kita telah dapat kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM171 juta dan ia dijangka beroperasi tahun 2029," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Kependudukan Negeri Selangor diadakan di sebuah hotel di Seksyen 19 di sini pada Isnin.

Iklan
Sebahagian peserta terlibat dalam Seminar Kependudukan Negeri Selangor.

Terdahulu, seminar berkenaan dirasmikan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari dan turut dihadiri Timbalan Pewakilan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Malaysia, Tengku Amira Tengku Razif.

Dalam pada itu, Juwairiya menjelaskan, sebelum pembinaan pusat khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga secara komprehensif itu disiapkan, tiga klinik subfertiliti telah pun beroperasi di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

"Pusat (PSN) bakal dibina ini adalah berskala besar dan ini yang pertama dan ia salah satu usaha kerajaan di peringkat kementerian dan LPPKN untuk membantu pasangan rakyat Malaysia yang inginkan zuriat dan memerlukan rawatan kesuburan dengan harga lebih rendah berbanding dengan di luar iaitu kadar pasaran ataupun di peringkat swasta.

"Jadi kita galakkan pasangan pasangan yang ingin mengusahakan, yang ada masalah reproduktif baik isteri ataupun suami kerana kedua-duanya kita ada kepakaran untuk membantu rawatan kesuburan lelaki mahu pun wanita," katanya.