Guru lelaki didakwa raba murid

Iklan
Muhammad Fakhrurrazi (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Selasa.

MELAKA - Seorang guru di sebuah madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap muridnya, April lalu.

Tertuduh, Muhammad Fakhrurrazi Abdul Rasid, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dari belakang dan memegang punggung seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Madrasah Baroqah Darul Quran Centre Taman Puncak Bukit Katil di sini, antara jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi 21 April lalu.

Iklan

Pendakwaan bagi kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jaminan RM20,000 jika mahkamah menggunakan budi bicara.

Iklan

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen.