10 maut, ratusan dikhuatiri terperangkap tanah runtuh di India

Iklan
Sekurang-kurangnya lapan orang maut, termasuk seorang kanak-kanak manakala ratusan lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kerala, India. Foto Reuters

NEW DELHI - [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya 10 orang maut, termasuk seorang kanak-kanak manakala ratusan lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kerala, India, menurut media tempatan pada Selasa.

Tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat telah menimbus beberapa buah kampung selain penduduk di daerah Wayanad, Kerala terputus hubungan pada awal Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik laporan akhbar The Hindu.

Lapor Xinhua memetik kenyataan polis, tanah runtuh melanda kawasan Meppadi ketika orang ramai masih tidur dan usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata sebanyak lapan mayat telah ditemukan dan sekurang-kurangnya 70 penduduk cedera telah dibawa ke hospital.

Beliau bimbang bilangan kematian akan meningkat tetapi tumpuan diberikan kepada operasi menyelamat yang terganggu oleh hujan.

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi menzahirkan rasa sedih berhubung kejadian tanah runtuh berkenaan.

"Ingatan saya bersama semua yang telah kehilangan orang tersayang dan doa saya bersama mereka yang cedera," tulisnya di platform media sosial X. - Bernama

Iklan
Iklan