MPKu laksana parkir digital bermula 1 Ogos ini

Iklan
Mohd Jafni (dua dari kiri) dan Mohd Fahmi (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik pelancaran Pendigitalan Bayaran Parkir MPKu di Galeri MPKu, Kulai pada Selasa.

KULAI - Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) akan melaksanakan Sistem Pengurusan Parking Digital dikenali sebagai ParkMax@Johor bermula 1 Ogos ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelaksanaan 'smart parking' itu akan melibatkan 28 kawasan bagi fasa pertama membabitkan 3,978 petak di 101 tempat yang sudah diwartakan seluruh daerah.

Iklan
Iklan

"Menerusi sistem baharu ini kadar yang dikenakan masih lagi 60 sen untuk satu jam pertama dan 40 sen untuk jam berikutnya.

"Begitu juga kadar bayaran bulan parkir MPKu masih tidak berubah," katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Pelancaran Pendigitalan Bayaran Parkir MPKu di Galeri MPKu di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Yang Dipertua MPKu, Mohd Fahmi Salam.

Beliau berkata, MPKu juga memberikan tempoh penggunaan kupon manual dalam tempoh dua tahun lagi sebelum sistem parkir digital dilaksanakan sepenuhnya.

Iklan

"Kupon manual boleh digunakan lagi dalam tempoh dua tahun ini untuk membolehkan orang ramai menghabiskan kupon manual.

"Bagi mereka yang mahu memulangkan semula kupon manual tersebut boleh berbuat demikian dengan MPKu.

"Bagi peringkat MPKu kita sudah hentikan pengambilan kupon manual daripada pembekal dan stok yangada sehingga 31 Disember 2026 sahaja," katanya.

Menurutnya, MPKu merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua melaksanakan bayaran parkir tanpa tunai itu selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan selepas ini akan diperluas ke empat PBT lain yang berada dalam wilayah The Greater Johor.

"Di peringkat permulaan enam PBT terlibat iaitu MPKu dan MBIP diikuti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang akan melancarkan sistem itu selepas perjanjian dengan konsensi parkir tamat tahun depan.

"Begitu juga Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPP) akan melaksanakan sistem tersebut kerana termasuk dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya.