Dana syarikat arak: Gerakan ajak parti komponen PN bermesyuarat

Iklan
Hantaran Tong Keong di Facebook beliau pada Selasa.

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengajak akan-rakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk saling menghormati dan bermesyuarat secara demokrasi susulan kemelut dalaman yang timbul berkait isu dana syarikat arak kepada sekolah Cina.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, kenyataan beliau sebelum ini berhubung perkara itu adalah berdasarkan prinsip keadilan dan kebenaran yang ditegakkan oleh partinya.

Iklan
Iklan

"(Kenyataan itu) untuk mempertahankan hak asasi semua kaum. Pada masa yang sama, saya juga ingin menyatakan kepada rakan-rakan parti komponen PN bahawa kita mesti saling menghormati, dan bermesyuarat secara demokrasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Tong Keong dilaporkan berkata bahawa parti berkenaan tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Iklan

Ia ekoran kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa Pas mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kecewa dengan pendirian parti tersebut yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Berikutan itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti berkenaan tidak menghalang sekiranya Gerakan mengambil keputusan untuk keluar daripada PN.

Iklan

Katanya, terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan kerana setiap parti mempunyai hak dan pendirian masing-masing.

Tong Keong menjelaskan, Gerakan bekerjasama dengan parti-parti komponen di bawah PN dan bukan menyertai parti tersebut.

Tegasnya, oleh itu pada sebarang isu, mereka tetap berpegang kepada pandangan dan pendirian parti serta tidak semestinya menerima pemikiran atau tindakan parti-parti komponen secara penuh dan keseluruhan.

"Sebagai seorang ahli parti, kita perlu mencintai dan setia kepada parti serta mempertahankan matlamat dan prinsip perjuangan parti manakala sebagai pemimpin parti lebih penting lagi untuk memberi teladan, sentiasa berada di barisan hadapan, mempertahankan kedudukan politik dan martabat parti.

"Ketika berdepan dengan desakan dari luar yang melampaui batas, sebagai Timbalan Presiden dan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang, saya tidak boleh berdiam diri dan bertanggungjawab memainkan peranan saya mempertahankan maruah parti untuk tidak mengecewakan ahli dan penyokong,” ujarnya.

Menurut Tong Keong, selama lebih 30 tahun dalam Gerakan, beliau sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa perlu memegang teguh semangat perjuangan parti berkenaan yang tidak kenal erti menyerah dan takut.

"Bahkan jika menghadapi tekanan yang kuat sekali pun, tidak boleh mengorbankan martabat parti. Semoga ini dapat dijadikan semangat bersama bagi semua yang setia kepada parti,” katanya.