Projek ECRL, LTU dijangka lonjak ekonomi Pahang

Iklan
Wan Rosdy ketika membaca ikrar taat setia mewakili wakil rakyat, pegawai kerajaan badan berkanun dan rakyat negeri Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balai Mahkota Istana Abdulaziz pada Selasa. - Foto: Istana Pahang

KUANTAN - Pembangunan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dalam proses pembinaan bakal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Pahang apabila ia siap sepenuhnya pada penghujung 2026.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan ECRL telah mencapai tahap 67.98 peratus manakala LTU pula sekitar 63.35 peratus.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika ikrar taat setia mewakili wakil rakyat, pegawai kerajaan badan berkanun dan rakyat negeri Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balai Mahkota Istana Abdulaziz dekat sini pada Selasa.

Wan Rosdy memaklumkan, segala perancangan pembangunan di Pahang seperti sektor ekonomi, infrastruktur, pelancongan, pendidikan, pertanian dan juga sosial berjalan dengan baik serta lancar.

Iklan

"Pada tahun 2023, kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berjaya mencatat negeri kedua daripada empat negeri terbaik prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahap 5.2 peratus, mengatasi KDNK Nasional iaitu 3.6 peratus.

"Perkembangan ekonomi negeri ini dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan seperti perdagangan borong serta runcit, makanan dan minuman, penginapan, produk petroleum, kimia, getah dan plastik," katanya.

Iklan

Selain itu, Wan Rosdy turut menyembah maklum mengenai usaha kerajaan Pahang bersama Sekretariat Pahang For Palestine yang telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui kerjasama Wisma Putra menerusi Ops Ihsan pada 20 Mei lalu.

Katanya, sebanyak RM1.6 juta berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Pahang4Palestine.

"Kutipan ini akan diteruskan bagi membolehkan lebih banyak lagi sumbangan dihantar dalam membantu saudara-saudara kita yang dizalimi, ditindas dan dibunuh rejim Israel tanpa ada sifat kemanusiaan dan simpati,"katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menjunjung kasih kepada Al Sultan Abdullah atas nasihat menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

"Alhamdulillah, patik telah selamat menjalani pembedahan pintasan jantung pada 7 Jun lalu dan keadaan kesihatan patik juga semakin bertambah baik.

"Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku yang telah menitahkan seluruh masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesihatan patik sepanjang menjalani prosedur rawatan ini," katanya.