Pemandu teksi maut dalam nahas empat kenderaan

Iklan
Empat buah kenderaan terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang pemandu teksi maut dalam kejadian tersebut di KM14 Jalan Triang-Temerloh hari ini. - Foto ihsan PDRM

TEMERLOH - Seorang pemandu teksi maut dalam nahas melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer (KM) 14 Jalan Triang-Temerloh di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa N Subramaniam, 67, dari Jalan Selayang, Temerloh meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

Iklan
Iklan

Kejadian yang melibatkan empat buah kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, teksi, kereta jenis Perodua Kenari dan motosikal jenis Yamaha Ego turut menyebabkan dua lagi mangsa cedera.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku selepas pemandu Toyota Hilux dari arah Temerloh menuju ke Triang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar teksi.

Iklan

Menurutnya, kereta jenis Perodua Kenari yang berada di belakang teksi juga gagal mengelak turut melanggar bahagian belakang Toyota Hilux.

"Ketika itu terdapat juga sebuah motosikal yang berada di bahu jalan dan penunggangnya juga mengelak cuba mengelak namun terlanggar bahagian belakang teksi.

Iklan

"Pemandu kereta Perodua Kenari yang berusia 44 tahun cedera di bahagian kaki dan penunggang motosikal berusia 25 tahun cedera di muka dan kepala.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hoshas untuk menerima rawatan namun pemandu teksi itu meninggal dunia pada jam 4.10 petang tadi di unit kecemasan akibat kecederaan di kepala dan dada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kini pihak polis juga sedang berusaha mengesan pemandu Toyota Hilux terbabit kerana tiada di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.