SHAH ALAM - Seorang lelaki memohon maaf setelah mengakui kesalahannya mengulang kongsi berita tidak sahih berhubung seorang gadis yang rebah dan meninggal dunia di sebuah kedai di Shah Alam pada Ahad lalu yang kononnya didakwa akibat koronavirus.
Menerusi perkongsian di Twitter miliknya yang dikenali sebagai Wan berkata, dia meminta maaf kepada semua netizen termasuk ahli keluarga di atas keterlanjurannya mempercayai berita tidak sahih sebelum menularkannya di laman sosial.
"Saya minta maaf ya, salah saya juga terus percaya orang kongsi sebab terlalu takut," ciapnya pantas menarik perhatian netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: Video gadis rebah bukan kerana koronavirus
Katanya, dia berkongsi kisah tersebut bukan untuk meraih populariti sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada orang ramai tentang virus tersebut, namun sebaliknya ia mengundang padah buat dirinya.
"Saya tahu salah saya sebab terlalu takut sampai 'share' (kongsi) benda tak sahih...
"Cuma nak semua orang berhati-hati jika benda ini betul di Malaysia. Saya pelajari dari kesilapan ini, terima kasih," katanya.
Sebelum ini tular di laman sosial, rakaman video memaparkan seorang gadis tiba-tiba rebah di dalam sebuah kedai hingga mengundang panik dalam kalangan masyarakat dan ada mendakwa gadis itu dijangkiti wabak koronavirus.
Allahyarham Nur Izzah Izzati Norazlan, 20, meninggal dunia ketika membeli aksesori telefon bimbit di tempat kerjanya di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, ahli keluarga gadis itu tampil menegaskan kematiannya bukan berpunca daripada wabak tersebut.
Bapa saudara mangsa, Muhamad Hafiz Abdul Karim berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.09 petang akibat serangan jantung.
Menurutnya, laporan bedah siasat itu dikeluarkan oleh doktor dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang merawat Allahyarham.