[VIDEO] Kapal tangki MT Hafnia Nile, MT Ceres 1 ditahan

Iklan

KUALA LUMPUR - Jabatan Laut Malaysia (JLM) menahan kapal tangki MT Ceres 1 serta kapal MT Hafnia Nile bagi menjalankan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Ketua Pengarahnya, Kapten Mohamad Halim Ahmed berkata, kedua-dua kapal yang dilaporkan berlanggar 19 Julai lalu telah berlabuh berhampiran perairan Tanjung Sedili, Johor untuk siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan dijalankan turut menafikan bahawa MT Ceres 1 meninggalkan lokasi selepas berlakunya pelanggaran kerana semua sistem termasuk Sistem Pengenalan Automatik (AIS) yang digunakan untuk mengesan kapal juga tidak berfungsi.

Beliau berkata, Ceres 1 merupakan sebuah kapal tangki minyak tanpa kargo yang dalam pelayaran ke Lanshan, China manakala Hafnia Nile sebuah kapal tangki minyak yang membawa muatan 'Naphtha' dalam pelayaran ke Kashima, Jepun.

Iklan
Mohamad Halim (kanan) menunjukkan lokasi kedua-dua kapal tangki berlabuh ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur pada Selasa.

"Siasatan awal mendapati Ceres 1 yang membawa 26 orang anak kapal sedang berlabuh akibat masalah teknikal yang dihadapi.

"Kapal Hafnia Nile yang membawa 22 orang anak kapal sedang dalam pelayaran cuba mengelak kapal Ceres 1, namun gagal dan bahagian Port Hafnia Nile telah terlanggar bahagian 'starboard bulbos bow' kapal Ceres 1," katanya pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perkembangan terkini kemalangan kapal Ceres 1 dan Hafnia Nile di Kuala Lumpur Convention Centre dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Halim berkata, kedua-dua kapal terbabit telah terbakar dan rantai sauh kapal Ceres 1 di bahagian 'starboard' telah terputus dan hanyut.

Jelasnya, 22 orang anak Kapal Hafnia Nile telah diselamatkan oleh Kapal RSS Supreme milik Tentera Laut Republik Singapura dan dirawat di Hospital Awam Singapura.

"Tiada tumpahan minyak dari kapal Ceres I dilaporkan,” ujarnya.

Terdahulu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) insiden pelanggaran kapal tangki MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 ditamatkan pada 22 Julai dengan kedua-dua kapal tangki itu ditunda ke kawasan selamat di kedudukan 20 batu nautika timur Tanjung Sedili, Johor.