Dilarang jual aiskrim campur ubat batuk - KKM

Iklan
KKM mengarahkan semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim dicampurkan ubat batuk dihentikan serta-merta bagi tujuan keselamatan pengguna. Gambar hiasan 123RF

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim dicampurkan ubat batuk dihentikan serta-merta bagi tujuan keselamatan pengguna.

KKM berkata, semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa aiskrim berkenaan disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak).

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia dilaksanakan menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

"Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) merupakan produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.

Iklan

"Ia digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

"Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya, pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan walaupun bagi tujuan untuk pemasaran serta melariskan jualan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” ujarnya.

KKM memaklumkan orang ramai boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) untuk mengetahui maklumat lanjut.