Kebenaran rayu penghakiman Jamal ditolak, perlu bayar Teresa RM300,000

Iklan
Jamal (kiri) dan Teresa.

PUTRAJAYA - Perjuangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk membatalkan perintah mahkamah kepadanya supaya membayar RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berakhir pada Selasa.

Hal itu susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Jamal untuk kebenaran merayu penghakiman dalam saman libel yang difailkan Teresa.

Iklan
Iklan

Dalam saman itu, Teresa mendakwa Jamal telah memfitnahnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

"Kami tidak diyakinkan bahawa permohonan ini melepasi keperluan untuk kebenaran merayu penghakiman di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964," kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Iklan

Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, juga memerintahkan Jamal untuk membayar RM30,000 sebagai kos guaman.

Peguam Teresa, Datuk S N Nair memberitahu media Jamal telah menjelaskan bayaran RM300,000 tersebut.

Iklan

Teresa memfailkan saman itu pada 6 April 2017, menuduh Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah mengenainya berhubung dana Yawas semasa sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menegaskan bahawa kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik termasuk di laman Facebook Jamal.

Teresa berhujah dalam tuntutannya bahawa kenyataan Jamal itu memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan merupakan seorang yang tidak beretika.

Pada 26 Julai 2022, Teresa dianugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin yang turut mengarahkan Jamal membayar kos RM50,000.

Pada 27 Mac lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Supang Lian mengetepikan rayuan Jamal dan turut mengarahkan Jamal membayar kos guaman RM50,000.

Pada 29 Mac, 2023, panel hakim Mahkamah Rayuan yang berbeza membenarkan permohonan Jamal untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM300,000, tetapi mengarahkannya memasukkan jumlah itu ke dalam akaun firma guaman yang mewakili Teresa sementara menunggu rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Peguam Rejinder Singh dan Maidzatul Akmal Daud mewakili Jamal manakala peguam Jaden Phoon Wai mewakili Teresa.