Olimpik Paris: Syaqiera tenang lepasi pusingan awal

Iklan
Syaqiera tenang sejak awal saingan apabila mendominasi set pertama dengan unggul menewaskan Mirca 30-27, diikuti 27-23 pada set kedua dan mengesahkan slot ke peringkat seterusnya menerusi kemenangan 26-24 pada set ketiga. Foto Bernama
PEMANAH negara, Syaqiera Mashayikh tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan penyingkiran 1/32 individu wanita dengan mudah menundukkan Alexandra Mirca 6-0 dari Moldova pada Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Acara yang berlangsung di Invalides menyaksikan Syaqiera tenang sejak awal saingan apabila mendominasi set pertama dengan unggul menewaskan Mirca 30-27, diikuti 27-23 pada set kedua dan mengesahkan slot ke peringkat seterusnya menerusi kemenangan 26-24 pada set ketiga.

Atlet berusia 23 tahun itu akan menentang wakil Brazil Ana Luiza Sliachticas Caetano pada pusingan penyingkiran 1/16, juga hari ini.

Ana Luiza sebelum itu menumpaskan Zana Pintaric dari Slovenia, 6-2. - Bernama