Aiden Tai unggul hari pertama 100Plus Srixon

Iklan
Aiden Tai

AIDEN Tai John Robert memulakan hari pertama Kejohanan Golf Remaja 100Plus Srixon 2024 langkah kanan apabila menutup hari pertama selaku pendahulu dengan catatan 74 pukulan dua di atas par.

Pemenang Siri Kelayakan 100Plus Srixon zon Semenanjung Malaysia itu membuktikan kemampuan walaupun berdepan cabaran angin yang tidak menentu selain keadaan green yang licin di Kelab Golf Kota Permai namun, berjaya mengungguli Divisyen Lelaki A dengan berkelebihan satu pukulan di depan pemain Vietnam, Le Minh Nghia dan Chaipattana Jensaiklang dari Thailand.

Iklan
Iklan

Walaupun bermula baik dengan dua birdie di lubang pertama dan kelima, namun tiga bogey selepas itu susulan keadaan angin yang sedikit kuat.

Bagaimanapun pemain berusia 15 tahun itu bangkit untuk mengekalkan momentum sekali gus mendahului hari pertama.

Iklan

"Saya bermain dengan baik pada sembilan lubang pertama tetapi bergelut kerana keadaan angin yang kuat selepas itu dan terlepas untuk mencatat keputusan yang baik kerana melakukan kesilapan mudah.

"Saya teruja untuk bermain di lapangan yang bertaraf antarabangsa dan mahu lihat kemampuan untuk bersaingan dengan pemain pemain terbaik dari luar negara.

"Saya berharap untuk kekalkan momentum seperti hari ini dan bermain dengan lebih baik di 18 lubang seterusnya esok,” kata Aiden.

Iklan

Sementara pemenang Siri Kelayakan Zon Timur Malaysia, Mohd Rafiq Anugerah Ali mengumpul 76 pukulan empat di atas par untuk berada di kedudukan keempat manakala seorang lagi wakil negara, Ammer Aiman Mohd Fauzi mengumpul 77 pukulan lima di atas par.

Sementara itu, saingan bagi Divisyen Perempuan A menyaksikan Le Chuc An, pemain utama saingan amatur dari Vietnam mengungguli hari pertama dengan catatan 74 pukulan dua di atas par, berkelebihan dua pukulan didepan pemain kelahiran India Zara Anand.

Pemenang Siri Kelayakan 100Plus Srixon zon Semenanjung Malaysia, Ngo Yi Belle pula terikat dikedudukan keempat dengan 78 pukulan enam di atas par bersama sama Anessha Eva Velu.

Seorang lagi pemain Vietnam, Nguyen Bao Phat mencatat 75 pukulan tiga di atas par dan Jane Sim dari Korea Selatan mencatat 81 pukulan sembilan di atas par sekaligus masing masing mengungguli Divisyen Lelaki B dan Perempuan B.

Sejumlah 80 pemain dari 10 negara mengambil bahagian di Kejohanan Golf Remaja 100Plus Srixon yang merupakan kejohanan di bawah kalendar Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).