Kerjasama media, PDRM penting untuk sebar maklumat tepat

Iklan
Pengamal media bergambar bersama Rusdi.

KUALA LUMPUR - Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan media amat penting dalam memastikan penyebaran maklumat tepat, konsisten dan efektif kepada masyarakat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, verifikasi fakta perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan semua maklumat yang diterima telah disahkan kebenarannya sebelum disiarkan.

Iklan
Iklan

"Media juga perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami dan bebas daripada istilah teknikal yang boleh mengelirukan masyarakat diluar sana

"Dengan penyelarasan yang betul, penyampaian berita dapat membantu masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Ketua Polis Kuala Lumpur Bersama Pengamal Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan pegawai-pegawai kanan polis Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, etika kewartawanan adalah penting dalam penyampaian maklumat termasuk menghormati privasi dan tidak menyebarkan maklumat yang boleh mencetuskan kegusaran, kebencian atau diskriminasi.

Iklan

"Tiada siapa boleh menafikan peranan wartawan dan media massa dalam menyampaikan maklumat selain kejadian-kejadian jenayah serta kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Polis Kuala Lumpur kepada masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan hubungan silaturrahim dan jalinan kerjasama bersama pihak media selama ini banyak membantu dalam menyebar luas liputan dan publisiti bagi PDRM khususnya Polis Kuala Lumpur.

"Menjadi harapan saya, agar hubungan baik yang telah terbina dan terjalin sesama kita ini dapat kekal serta persepakatan yang utuh di antara kita merupakan salah satu faktor pelengkap bagi memastikan negara akan terus berada dalam keadaan selamat dan harmoni,” katanya.