BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memilih untuk tidak terlalu memikirkan perlawanan suku akhir menentang wakil Korea Selatan, Kim Won-ho-Jeong Na-eun pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebaliknya, Ee Wei menegaskan dia lebih suka menumpukan perhatian kepada persediaan mereka berbanding lawan, yang menduduki ranking kelapan dunia, pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Arena Porte de La Chapelle esok.
Iklan
Iklan
"Pelan permainan kami banyak memberi tumpuan kepada diri kami sendiri dan mengekalkan disiplin,” katanya.
Tang Jie menegaskan mereka akan menjalankan analisis video mengenai permainan Won-ho-Na-eun.
Berdasarkan rekod pertemuan mereka, Tang Jie-Ee Wei mempunyai kelebihan, setelah memenangi dua daripada tiga perlawanan terakhir menentang Won-ho-Na-eun.
Jika mereka mengatasi Won-ho-Na-eun, pasangan negara akan berdepan pemenang perlawanan antara pasangan utama Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yu-jung dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong di separuh akhir.
Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A selepas menewaskan pilihan kedua, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, selain menewaskan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura dan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat.