Penyasaran subsidi: Rakyat perlu ambil kira juga kenaikan sumbangan lain

Iklan
Muhammad Kamil

SHAH ALAM - Rakyat tidak sepatutnya menumpukan soal penyasaran semula subsidi diesel semata-mata, sebaliknya mempertimbangkan juga kenaikan kepada insentif dan sumbangan lain yang disalurkan oleh kerajaan.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, antara bantuan rakyat yang telah ditambah baik termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dan sebagainya.

Iklan
Iklan

"Ini semua harus diambil kira sementara kerajaan tarik subsidi kepada yang tidak layak menerima subsidi dan kekalkan pemberian subsidi kepada kelompok yang berhak.

"Dalam masa yang sama, kerajaan ambil juga inisiatif untuk tambahkan insentif atau bantuan lain hasil daripada penjimatan yang dilakukan ini. Ia termasuk peningkatan elaun kepada imam, bilal, siak di surau dan masjid seluruh negara, e-belia Madani dan juga pelbagai insentif lain.

Iklan

"Jadi kita tidak boleh lihat seolah-olah kita hanya tertumpu soal penarikan atau penyasaran semula subsidi ini sahaja, kita kena pertimbangkan juga kenaikan insentif dan juga sumbangan perkara-perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 449 bertajuk Subsidi Diesel: Siapa Untung Siapa Rugi? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 pada Selasa.

Iklan

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda dan Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Indrani Thuraisingham.

Muhammad Kamil (dua dari kanan) dalam Wacana Sinar edisi 449 bertajuk Subsidi Diesel: Siapa Untung Siapa Rugi? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil turut akui langkah penyasaran semula subsidi itu merupakan tindakan tidak popular dalam politik, namun menegaskan ia merupakan tekad berani kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelamatkan negara.

Ulasnya, cadangan tersebut telah pun dipersetujui sejak 25 tahun lalu tetapi tetap tidak dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu sebelum Anwar.

"Sudah tentu (tindakan penyasaran subsidi tidak popular) tetapi apa maknanya jadi pemimpin kalau mahu terus kekal popular? Maksudnya kita menggadaikan kedudukan kewangan negara kita untuk jangka masa yang lebih panjang.

"Keputusan prinsip untuk penyasaran semula subsidi ini ialah keputusan yang lama cuma tidak ada tekad politik daripada pemimpin-pemimpin atau Perdana Menteri sebelum ini untuk melaksanakan kerana mereka tahu itu ialah perkiraan politik.

"Tidak ada keuntungan daripada sudut politik kalau pendekatan dan dasar ini dilaksanakan tetapi atas sikap dan rasa tanggungjawab kita untuk pulihkan negara ini pada masa panjang dan untuk generasi akan datang, maka keberanian dari sudut itu kita harus lakukan,” ujarnya.