Akhyar Rashid muncul wira, pastikan TFC kutip tiga mata

Iklan
Akhyar Rashid (kanan) bersama rakan sepasukannya meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol semasa menentang pasukan Negeri Sembilan FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini. Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] MUHAMMAD Akhyar Abdul Rashid atau Akhyar Rashid muncul wira Terengganu FC (TFC) apabila menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-2 pada saingan Liga Super malam ini.

Dalam perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Gong Badak, tuan rumah terdahulu dikejutkan dengan gol pertama pelawat menerusi pemain import dari Sepanyol, Mika Junco yang menanduk masuk hantaran silang pemain tengah dari Jepun, Takumi Sasaki pada minit ke-16.

Iklan
Iklan

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Penyu terus melancarkan serangan demi serangan ke kubu NSFC dan hasilnya pemain sayap, Muhammad Safawi Rasid berjaya menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan sepakan percuma sebelum tamat babak pertama perlawanan.

Empat minit selepas babak kedua bermula, Terengganu memperoleh gol kedua menerusi tandukan pemain import dari Nigeria, Nnabuike Chukwu Chijioke namun kealpaan barisan pertahanan membuka ruang kepada Hoben Jang Hoben menyamakan kedudukan hasil sepakan jarak dekat pemain tengah dari Senegal, Jacque Faye pada minit ke-53.

Iklan

Akhyar Rashid meranapkan impian NSFC untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-59 sekali gus memastikan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner mengutip mata di laman sendiri.

Kemenangan malam ini membolehkan Terengganu memintas Sabah FC untuk berada di tempat ketiga dengan 11 mata manakala Negeri Sembilan pula terus terperosok di kedudukan tercorot liga dengan tiga mata.

Iklan

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah terpaksa berputih mata apabila tewas kepada Kuching City FC 2-1.

Rembatan dari luar kotak penalti oleh ketua pasukan Wan Zack Haikal Wan Noor meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ketujuh sebelum awang import pelawat Jordan Mintah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-69.

Penyerang dari Ivory Coast, Tchetche Kipre muncul wira skuad kendalian Aidil Sharin Sahak apabila tolakannya pada minit ke-76 memastikan mereka melonjak ke tangga keempat liga dengan 10 mata.

Kekalahan kelima skuad bimbingan Yusri Che Lah pula menyaksikan mereka berada di kedudukan kesembilan liga dengan enam mata. - Bernama