Mudah rasa simpati, mudah juga kena scam

Iklan

RAKYAT Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap pemurah. Tidak lokek menghulurkan sumbangan sama ada kewangan atau barangan kepada mereka yang memerlukan.

Bagi umat Islam, kemurahan hati ini tidak dipulangkan dengan pahala biasa, malah ALLAH SWT menjanjikan pahala yang berlipat ganda kerana bersedekah.

Iklan
Iklan

Namun, agak malang apabila ada pihak yang bertopengkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam untuk kepentingan sendiri dan mengaut keuntungan mudah. Niat bersedekah membuka peluang kepada pihak tertentu mengaut untung atas angin.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh kerana disyaki terbabit salah guna dana derma awam berjumlah RM3 juta.

Iklan

Pada 9 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dipercayai terlibat penipuan dalam urusan bayaran guaman dan kutipan dana sejak tahun lepas membabitkan kerugian lebih RM140,000.

Kebarangkalian hal ini akan berlaku sangat tinggi apabila masyarakat mudah terpengaruh dengan pempengaruh yang berkongsi maklumat kempen derma, walaupun ramai tidak mengetahui ke mana aliran wang derma mereka disalurkan.

Iklan

Kempen derma sebegini mudah dilakukan terutama di laman media sosial, lebih-lebih lagi membabitkan kutipan sumbangan bantuan bencana alam, infak, peperangan dan pembangunan madrasah. Dengan mudah meraih simpati masyarakat sehingga ada yang sanggup bergadai gelang dan rantai emas bagi membantu individu yang dilanda musibah.

Sifat mudah simpati dan kasihan itu dikesan membuka ruang kepada individu yang tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air keruh dengan menggunakan alasan derma.

Justeru, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menderma terutama jika ia melibatkan individu dan pertubuhan tidak berdaftar.

Menurutnya, masyarakat perlu memastikan duit sumbangan derma disalurkan kepada pertubuhan yang didaftarkan dan yang menjalani proses audit.

Dalam pada itu, cadangan NGO, Rasuah Busters yang mahu satu badan khas ditubuhkan bagi menyelia dan mengurus kutipan derma orang ramai bagi mengelakkan kes penyelewengan adalah wajar. Ini penting untuk mengawal salah guna kuasa dan potensi rasuah.

Dalam Islam, jelas wakil derma tidak boleh mengambil wang sumbangan untuk tujuan selain kepada pihak dipersetujui, kecuali dengan izin penderma. Oleh itu, penting untuk penderma ambil tahu ke mana wang sumbangan mereka dialirkan.

Dalam hal samar-samar seperti ini, masyarakat disarankan lebih berhati-hati kerana membabitkan wang dan kepercayaan. Jangan mudah terpengaruh dengan kandungan tidak jelas latar belakangnya serta tujuan kandungan.

Cari kepastian tujuan sebenar dana dikumpul, proses pengumpulan dan bagaimana ia akan digunakan.

Adalah penting menjadi masyarakat celik media agar setiap maklumat diperoleh, tidak mempercayainya seratus peratus.

Bijak menilai sebelum menderma bukan sahaja membantu memastikan dana digunakan dengan baik, tetapi juga membantu memelihara integriti dan kepercayaan dalam komuniti media sosial.

Jangan mudah termakan muslihat derma online ini. Selidik dulu, bukannya apa, bimbang kena scam nanti. Niat nak membantu, sudahnya sia-sia.

Pada penulis, apabila ada sumbangan awam yang diserahkan hatta satu sen sekalipun, bermakna amanah sudah diberikan dan ia perlu diserahkan kepada kumpulan sasar.

Buat pihak tidak bertanggungjawab ini, cukup-cukuplah memanipulasi orang lain demi kepentingan sendiri. Insaflah, berhentilah melakukan kerja yang jahat ini.

Carilah rezeki secara halal dan berintegriti demi masa depan akhirat yang lebih baik, daripada nikmat dunia yang hanya sementara.

*Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian Online