SHAH ALAM - Sebagai tanda peduli dan prihatin terhadap penampilan dan kesihatan kucing, jenama produk makanan kucing tempatan, Tomkraf mengadakan Spa Tomkraf dengan menawarkan perkhidmatan Dry Grooming Kucing di Karnival Rakyat Karangkraf.
Eksekutif Pemasaran Tomkraf, Abu Suffian Abu berkata, tanggungjawab pemilik kucing bukan sekadar memberi makan sahaja tetapi memastikan haiwan peliharaan memiliki penampilan menyegarkan supaya kelihatan lebih cantik dan sihat.
Menurutnya, tujuan utama mengadakan sesi Spa Tomkraf kerana mahu menyebarkan kepentingan terhadap penjagaan kebersihan dan dandanan kucing.
"Ini merupakan peluang untuk mendedahkan kepada orang ramai bahawa pemakanan yang baik akan membantu mereka menjaga kesihatan bulu dan kulit kucing.
"Justeru, demi merealisasikan tanggungjawab sosial itu, Tomkraf mengambil inisiatif untuk membawa misi itu ke Fiesta Kucing Tomkraf di Karnival Rakyat Karangkraf,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kempen berkenaan juga untuk mendidik pemilik kucing berhubung keseimbangan menjaga kesihatan penampilan haiwan berkenaan.
Justeru, Abu Suffian berkata, pihaknya turut menjemput tukang rias kucing profesional untuk merealisasikan kempen berkenaan.
"Tomkraf akan terus mempelbagaikan dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepada pemilik kucing untuk sentiasa belajar keperluan ‘si bulus’,” jelasnya.
Sementara itu, pendandan kucing, Norhafiza Othman turut berkongsi petua penjagaan dengan memberi makan yang sihat dan bernutrisi bagi mengelakkan bulu haiwan itu gugur.
Menurutnya, langkah terbaik untuk mencari makanan kucing adalah yang tidak mengandungi garam atau free grain.
"Bulu gugur juga boleh berlaku disebabkan kurap. Oleh itu, pencinta kucing perlu menitikberatkan aspek kesihatan dan penampilan kucing.
"Sebaik-baiknya bawa (kucing) ke groomer untuk grooming,” kongsinya.