Pulau Pinang siap sedia hadapi koronavirus

Iklan
Afif diberi penerangan oleh pgawai JKN Pulau Pinang mengenai ujian saringan yang dijalankan terhadap pelancong di LTAPP.

BAYAN LEPAS - Pulau Pinang sentiasa dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berhubung wabak koronavirus.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, Pulau Pinang masih dalam keadaan selamat yang mana sehingga kini tiada kes melibatkan jangkitan virus itu dikesan di negeri ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang sentiasa menjalankan ujian saringan terhadap penumpang yang memasuki negeri ini termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Menurutnya, seramai 8,967 pelancong dicatatkan masuk melalui LTAPP sejak kelmarin iaitu semalam dengan 4,506 dan 4,461 pada Ahad.

Iklan

"Jumlah kapal terbang dari wilayah China yang dicatatkan untuk semalam adalah enam dan lima pada kelmarin. Daripada itu, 13 pelancong dari China ditahan.

"Bagaimanapun setelah ujian saringan dijalankan, mereka disahkan bebas dari simptom koronavirus. Mereka tidak ditahan untuk dirujuk kepada hospital. Ujian saringan yang bermula sejak 4 Januari lalu akan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media di LTAPP tadi.

Iklan
Afif diberi penerangan oleh pgawai JKN Pulau Pinang mengenai ujian saringan yang dijalankan terhadap pelancong di LTAPP.

Terdahulu, Afif yang diiringi Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib mengadakan lawatan khas ke LTAPP bagi melihat langkah persediaan JKN Pulau Pinang susulan penularan koronavirus.

Katanya, sehingga kini, tiada penerbangan di LTAPP dibatalkan kerana jangkitan virus tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit ditutup rendah akibat kebimbangan penularan koronavirus

Dalam perkembangan sama, Afif menafikan semua mesej yang tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial kononnya virus tersebut telah menular ke Pulau Pinang.

"Semalam saya sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini. Tetapi masih ada mesej palsu yang terbaru disebarkan. Sekali lagi saya menegaskan, tiada kes jangkitan koronavirus di Pulau Pinang setakat ini. Saya merayu, hentikanlah semua berita palsu ini. Sekiranya ada kes (positif), JKN Pulau Pinang akan melaporkannya kepada orang awam.

"Kita pun mahu wabak ini dikawal segera dan kita perlukan penglibatan daripada orang ramai. Jika tidak ada, kita akan lapor tak ada. Tidak ada sebab untuk kita sembunyikan sebarang maklumat. Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak, jangan percaya mesej palsu yang ditularkan sekiranya ia bukan dari pihak berkuasa," katanya.

Semalam Afif menafikan mesej mengenai dua warga China telah dijangkiti koronavirus di Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang tular di aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, mesej kononnya maklumat terkini dari Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah itu adalah palsu selain mengelirukan.

Terdahulu, tular satu mesej melalui WhatsApp oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya dua individu yang berkunjung ke Thailand telah dimasukkan ke HSJ kerana disyaki dijangkiti koronavirus.

Mesej itu turut menyatakan HSJ telah membuka wad pengasingan bagi tujuan kuarantin untuk pesakit tersebut.

Sementara itu, Kerajaan Selangor sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status koronavirus memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan sentiasa dipertingkatkan dalam usaha membendung wabak virus itu daripada menular di negara ini.

"KLIA dan KLIA2 merupakan pintu masuk utama negara dan menerima kedatangan pelancong di negeri ini. Dengan kemampuan daripada segi peralatan yang ada, wabak berkenaan akan dapat dikesan.

"Saya percaya dengan langkah-langkah yang diambil dapat memastikan kita mampu menangani soal ini (koronavirus)," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Katanya, kerajaan negeri tetap meneruskan tugasan ke luar negara seperti dijadualkan sebelum ini dengan mendapatkan nasihat daripada Wisma Putra.