Susun naratif berkesan, bukan merugikan

Iklan
Pemilihan calon muda oleh PN dan BN dijangka akan memberi saingan sengit kerana majoriti pengundi DUN Nenggiri adalah golongan muda. - Gambar hiasan

PERIKATAN Nasional (PN) sudahpun mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila memilih Mohd Rizwadi Ismail, 41, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ironinya, Mohd Rizwadi sebelum ini merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang dan merupakan penduduk di Bertam Lama, Nenggiri.

Iklan
Iklan

Walaupun beliau baru menjadi ahli Bersatu, namun ia bukan masalah kerana keputusan memilih calon dibuat bersama dalam pimpinan tertinggi PN. Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi siapa yang akan mewakili PN sama ada Bersatu ataupun Pas.

Sementara Barisan Nasional (BN) pula memilih Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon.

Iklan

Pemilihan calon muda oleh PN dan BN ini dijangka akan memberi saingan sengit kerana majoriti pengundi DUN Nenggiri adalah golongan muda.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 lalu, PN menang dengan majoriti 810 undi mengatasi calon BN. Namun, tidak mustahil BN juga boleh mencipta kejutan jika bijak menyusun kempen dan jentera yang berkesan.

Iklan

Apa yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak dari sekarang ialah menyusun naratif yang boleh memberikan hasil dan mengelak sebarang konflik negatif yang akan menjejaskan sokongan pengundi.

Jentera parti mewakili Kerajaan Perpaduan perlu memastikan segala pengumuman dan usaha kerajaan diterangkan dengan baik bagi mengelak pengundi keliru dan tidak mahu memberikan sokongan.

Ini kerana, antara punca utama kekalahan pada PRK DUN Sungai Bakap lalu adalah kegagalan kerajaan memberi penerangan mencukupi mengenai pengumuman penyasaran subsidi diesel.

Bagi PN pula, mereka perlu memastikan isu dalaman dapat diselesaikan segera termasuk percanggahan pendapat antara Pas dengan Gerakan dalam isu pengumpulan dana sekolah Cina daripada syarikat arak.

Seperti kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM cawangan Perlis, Dr Zuraimy Ali, segala isu yang terkait dengan dasar dan perjuangan perlu selari.

Ujarnya, jika pergolakan yang berlaku gagal diatasi, ini akan meningkatkan peluang kerana parti lawan untuk meraih kemenangan.