Khazanah anjur program #BerbudiBersama siri kedua di Perak

Iklan
Acara ini menumpukan perhatian kepada dua teras utama iaitu pemeliharaan alam sekitar serta pemeliharaan seni, warisan, dan budaya.

SHAH ALAM - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bakal menganjurkan program #BerbudiBersama siri kedua yang akan diadakan di Perak pada 3 Ogos ini.

Dengan penglibatan rakan penganjur bersama, Yayasan Hasanah (YH), program yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Khazanah di Perak itu akan menyaksikan lokasi Masoorat Heritage Park, Ipoh menjadi tumpuan utama dengan pelbagai acara menarik yang dijadualkan berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang.

Iklan
Iklan

Acara ini menumpukan perhatian kepada dua teras utama iaitu pemeliharaan alam sekitar serta pemeliharaan seni, warisan, dan budaya.

Menurut Khazanah, Perak dipilih berdasarkan warisan sejarahnya selain landskap semula jadinya yang pelbagai, sekali gus menjadi contoh kekayaan budaya dan alam sekitar Malaysia.

Iklan

"Namun, pemeliharaan khazanah ini memerlukan usaha gigih dan penglibatan aktif komuniti. Justeru, program ini adalah untuk melibat serta memperkasakan komuniti Perak, memastikan kelestarian warisan alam sekitar dan budaya mereka untuk generasi akan datang,” jelas Khazanah kepada Sinar Harian.

Selain itu, program #BerbudiBersama di Perak adalah untuk mempertingkatkan pemeliharaan alam sekitar melibatkan aktiviti bengkel yang berteraskan kepada amalan lestari, kitar semula dan perlindungan biodiversiti melibatkan komuniti setempat termasuk komuniti rakan kongsi Felda Kampung Trolak Selatan dan komuniti Orang Asli.

Iklan

Pada masa sama, program tersebut akan turut melibatkan aktiviti mempromosi warisan budaya Perak melalui persembahan daripada artis-artis tempatan dan pengamal budaya yang akan menghiburkan para pengunjung di samping mendapat pendedahan yang bermanfaat.

Sesi pendidikan dan bengkel mengenai kraftangan tradisional, seni persembahan dan teknik pemeliharaan warisan serta aktiviti-aktiviti tambahan lain akan turut diadakan.

Turut memeriahkan acara ini adalah rakan-rakan strategik #BerbudiBersama seperti Hospital Pantai Ipoh, Farm Fresh, Plus Expressway Berhad, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Galeri Khazanah, Qarbotech Sdn Bhd dan Vetomin Malaysia Sdn Bhd, usahawanusahawan kecil serta rakan usaha sama dan benefisiari YH, untuk para pengunjung mengetahui inisiatif-insiatif yang dilaksanakan sejajar dengan strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia) oleh Khazanah.

Program #BerbudiBersama yang berlangsung sehari itu turut diadakan Pameran Pra-Sejarah dan Pendidikan Geopark yang mempamerkan fosil,lukisan purba, tinggalan arkeologi selain pendidikan ‘Show & Tell’ tentang artifak arkeologi.

Aktiviti sokongan komuniti Orang Asli, pemeliharaan sungai turut diadakan yang memaparkan pendidikan mengenai projek Lembangan Sungai Kinta selain mempromosikan ekopelancongan di Kampung Tonggang.

Orang ramai dijemput hadir untuk menyertai program #BudiBersama di Perak dan mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang penuh manfaat dan kemeriahan.

Masuk adalah percuma. Khazanah juga akan mengadakan siri ketiga #BerbudiBersama di Johor yang bertempat di Mall of Medini, Iskandar Puteri pada 24 Ogos 2024. Orang ramai boleh mengikuti laman sosial rasmi Khazanah untuk mendapatkan maklumat lanjut.