IPOH - Kerajaan Perak sudahpun dimaklumkan awal berkaitan penutupan Taman Tema Studio Animasi (MAPS) yang berlaku hari ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perak, Tan Kar Hing berkata, pihaknya mendapat maklumat sehari sebelum notis penutupan dikeluarkan pihak The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.
Menurutnya, sebelum ini penutupan MAPS merupakan antara beberapa kemungkinan dihadapi taman tema itu berikutan pelbagai masalah yang dihadapi.
"Keputusan muktamad mengenai penutupan itu adalah di antara persetujuan pihak bank dan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
"Selama ini kita tahu ada masalah berlaku, sebelum ini pernah berbincang berkenaan pihak bank hendak ambil alih kerana kegagalan untuk membayar hutang," katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penutupan MAPS hari ini sejak beroperasi pada tahun 2017.
ARTIKEL BERKAITAN: MAPS ditutup berkuat kuasa hari ini
Kar Hing berkata, sebelum ini pihak bank memberi beberapa kemungkinan sama ada MAPS ditutup, diteruskan operasi seperti biasa atau dilakukan penstrukturan semula namun semua keputusan tersebut bergantung kepada perbincangan lanjut dengan Lembaga Pengarah PKNP.
Menurutnya, sehingga kini tiada kenyataan lanjut dapat diberikan dan sebarang maklum balas lebih terperinci perlu dirujuk dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi PKNP.
Animation Theme Park (ATP) Sdn Bhd yang mengendalikan MAPS sebelum ini gagal membayar balik bayaran prinsipal berjumlah RM25.7 juta kepada Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Investment).
Affin Investment pada 4 Disember melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah ATP yang juga pengendali MAPS.
Sebelum ini, berdepan masalah tunggakan bil elektrik hampir RM4 juta hingga menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan bekalan elektrik baru-baru ini.
MAPS yang dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017 dibangunkan dengan kos RM520 juta.