SHAH ALAM - Latihan saat akhir tidak mengecewakan Wan Nur Syaza Sofea Wan Syahrul Yusri, 16 apabila terpilih sebagai pemenang dalam pertandingan Melukis Poster Risda sempena Karnival Rakyat di Kompleks Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23 itu berkata, dia hanya mengambil masa satu hari untuk berlatih dan membuat kajian mengenai tema pertandingan iaitu RISDA dan Rakyat.
Menurutnya, agak sukar untuk mencari idea mengikut tema yang ditetapkan namun bernasib baik kerana dibantu oleh ayahnya.
"Saya tidak menyangka akan muncul sebagai pemenang kerana saya jarang mendapat tempat pertama dalam apaapa pertandingan. Namun, pada kali ini alhamdulillah kemenangan ini sangat bermakna buat saya.
"Selain itu saya rasa pertandingan sebegini sangat bagus untuk para pelajar contohnya macam saya yang sebelum ini tidak mengetahui mengenai RISDA. Selepas membuat kajian, barulah saya tahu RISDA banyak membantu golongan muda untuk berjaya,” katanya.
Johan pertandingan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, diikuti hadiah naib johan berjumlah RM300 dan tempat ketiga membawa pulang RM200 manakala bagi enam hadiah saguhati menerima wang tunai sebanyak RM50.
Hadiah kemenangan itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan RISDA, Md Najip Ishak. Turut serta Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.
Bagi pemenang tempat kedua, Lai Ting Xin, 16, pertandingan tersebut perlu diteruskan bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam melukis dan mewarna. Katanya, kemenangan kali ini dilihat sebagai pengiktirafan dan dapatmenyerlahkan bakatnya dalam sesuatu pertandingan.
"Saya sangat gembira apabila mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini. Usaha saya melakukan pencarian mengenai RISDA dalam tempoh seminggu sangat berbaloi."Di samping mencari idea untuk lukisan, saya juga dapat ilmu baharu yang mana penubuhan RISDA sangat membantu dalam memastikan pembangunan sumber getah sekali gus mengembankan ekonomi negara,” ujarnya.
Sementara itu, pemenang ketiga, Raihanah Sofia Rohaimi, 14 berpendapat, pertandingan itu dapat memperkenalkan para pelajar kepada industri penghasilan getah.
"Selepas saya cari di internet mengenai RISDA barulah saya tahu RISDA sebenarnya banyak melakukan aktiviti untuk rakyat dan sebagainya,” jelasnya.
RISDA atau nama penuhnya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun kecil Perusahaan Getah telah diamanahkan oleh kerajaan sejak 1973 untuk memastikan komuniti pekebun kecil getah dapat hidup makmur menerusi sektor penanaman serta penghasilan sumber getah asli.
Pada masa ini, lebih 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara bergantung kepada penghasilan getah sebagai punca pendapatan. Komuniti pekebun kecil getah merupakan penyumbang kepada 85 peratus hasil getah asli di negara ini.