SHAH ALAM- Perikatan Nasional (PN) perlu berbincang untuk menyelaraskan perbezaan bagi memperkasakan keutuhan kerjasama antara mereka.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dominic Lau berkata, sejak penubuhannya, gabungan berkenaan tidak pernah duduk bersama bagi membincangkan perkara itu.
Menurutnya, sebagai satu gabungan politik yang agak muda, PN masih mempunyai ruang untuk memenangi kepercayaan lebih ramai pengundi dengan kekuatan yang tersendiri.
"Pada hemat saya, tibalah masanya kita memperkasakan keutuhan perikatan ini. PN sudah capai tahap maksimum dalam menguasai kepercayaan pengundi Melayu, keadaan ini hanya akan terus konsisten ataupun menurun pada masa depan.
"Bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi untuk bertakhta di Putrajaya. PN belum lagi dapat mewakili kesemua masyarakat, sekarang adalah masanya dan yang terbaik untuk melakar strategi ke arah PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16).
"Saya lihat ada segelintir ahli-ahli Parlimen kita dah haus dalam naratifnya. Itu sahajalah 'pi mai pi mai tang tu' isu nak dibawa. Sementara kita memainkan peranan semak dan imbang, saya lihat kita sudah sampai 'bottleneck', waktu ini tepat pada masanya kita duduk dan berbincang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dominic menjelaskan, akan membawa perkara itu untuk dibincang bersama kepimpinan PN, satu forum dalaman antara akar umbi parti komponen juga perlu diadakan pada masa terdekat.
Tambahnya, budaya saling menghormati itu adalah budaya rakyat Malaysia dan mereka mesti mengamalkannya dalam merealisasikan politik matang di negara ini.
Ujar beliau, perbezaan pendapat adalah lumrah hidup namun kuncinya bagaimana boleh menguruskan perbezaan untuk terus menuju ke hadapan.
"Ajaibnya, perbezaan itu yang mengikat kita bersama, bukan persamaan. Sepasang suami isteri selalunya personaliti mereka bertentangan, tetapi mereka menjadi teman sejati sehingga hayatnya menemui pencipta.
"Perbezaan yang wujud antara kita memberi fleksibiliti dan kekuatan kepada semua. Satu pasukan yang selalu bergaduh akan jalan lebih jauh daripada satu pasukan yang setuju 100 peratus kerana elakkan konfrontasi.
"Pentingnya mesti kena ada seorang yang selalu mengingatkan tentang perpaduan dalam pasukan itu, selalu membawa pandangan ekstrem ke tengah. Prinsipnya satu, setuju untuk tidak bersetuju,” katanya.