Pesta Malaysia 2024 promosi produk tempatan di Belanda

Iklan
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian Pesta Malaysia 2024 di Leidschendam, Belanda

SHAH ALAM – Pesta Malaysia 2024 anjuran Kedutaan Besar Malaysia di The Hague yang berlangsung di Westfield Mall of the Netherlands pada 27 dan 28 Julai lalu berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Penganjuran kali pertama yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM), Touris Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu bertujuan memperkenalkan kepada warga Belanda kepelbagaian budaya Malaysia, produk makanan, pelancongan, serta inisiatif Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) Go Global 2024.

Iklan
Iklan

Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) dalam kenyataan berkata, objektif utamanya Pesta Malaysia 2024 adalah untuk meningkatkan profil Malaysia di bumi Belanda, mempromosikan pelbagai produk Malaysia dan mempertingkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

"Pengunjung pameran menikmati masakan Malaysia dengan gerai-gerai yang menawarkan hidangan ikonik seperti nasi lemak, sate, teh tarik, roti jala, karipap dan pelbagai kuih-muih tradisional Malaysia.

Sebahagian produk tempatan yang diperkenalkan menerusi Pesta Malaysia 2024 di Leidschendam, Belanda.

Iklan

"Malah mereka juga berpeluang membeli buah-buahan Malaysia seperti durian musang king, rambutan, nangka madu, buah naga, markisah dan belimbing di gerai KPKM," kata kenyataan itu.

Pesta Malaysia 2024 dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Belanda, Roseli Abdul yang turut dihadiri Duta Besar serta diplomat dari kedutaan negara-negara anggota ASEAN yang berpusat di The Hague, pegawai kerajaan Belanda dan wakil dari pelbagai industri seperti halal, pelancongan serta penerbitan.

Iklan

Selain itu, gerai Syarikat Aqina Holdings Sdn Bhd; KULIM (Malaysia) Berhad; 3BUMI Trading Sdn Bhd dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyediakan sampel nanas segar MD2 serta produk-produk makanan dari Malaysia yang menarik para pengunjung untuk meneroka citarasa baru.

"Gerai Tourism Malaysia turut menyediakan maklumat menyeluruh tentang destinasi pelancongan menarik di Malaysia dengan kerjasama TUI Nederland, sebuah syarikat pelancongan terkenal Belanda.

"Aktiviti menarik seperti kuiz berkaitan pelancongan di Malaysia dengan menggunakan aplikasi Kahoot serta demonstrasi mencanting batik turut menambah suasana meriah di Pesta Malaysia 2024,” katanya.

Jelas kenyataan itu, Pesta Malaysia 2024 berjaya mencapai objektifnya dengan meningkatkan profil Malaysia dalam kalangan masyarakat Belanda dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman mereka tentang negara ini.

"Peserta dari Malaysia telah memperoleh pengetahuan tentang pasaran Belanda dan menjalin hubungan dengan peniaga tempatan serta menyediakan platform buat diaspora Malaysia untuk berkumpul dan menjalin hubungan sesama mereka,” katanya.

Pameran ini juga memperkenalkan inisiatif MAHA Go Global 2024 yang direka untuk meningkatkan pengembangan perniagaan, eksport, dan inovasi dalam sektor pertanian dan hortikultur.

Dengan penyertaan lebih daripada 50 pempamer dari seluruh dunia, MAHA 2024 bertujuan untuk memupuk hubungan global dalam komuniti pertanian, mempromosikan Malaysia sebagai pemain utama di peringkat antarabangsa. MAHA 2024 akan berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor pada 11 hingga 22 September 2024.